Pasangan asing agresif dikeluarkan dari pesawat AirAsia

Pasangan asing agresif dikeluarkan dari pesawat AirAsia

Ketua Polis KLIA Azman Shari'at berkata pasangan itu diberikan ubat penenang dan polis mengesyaki mereka kurang siuman.

Ketua Polis KLIA Azman Shari’at berkata tiada tangkapan dibuat kerana polis hanya menjalankan pertanyaan awal terhadap pasangan warga asing itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepasang warga asing dikeluarkan dari penerbangan AirAsia ke China di Terminal 2 KLIA semalam, selepas mencetuskan kekecohan dalam pesawat, menurut pihak berkuasa.

Ketua Polis KLIA, Azman Shari’at, berkata petugas keselamatan campur tangan selepas pasangan itu berkelakuan seperti kurang siuman sehingga mengganggu penumpang lain.

Menurutnya, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis untuk pertanyaan, tetapi mereka gagal memberi kerjasama dan bertindak agresif.

Beliau berkata, polis mendapatkan bantuan Kementerian Kesihatan selepas mengesyaki pasangan itu kurang siuman dan mereka diberikan ubat penenang selepas pemeriksaan.

“Selanjutnya pihak polis membawa pasangan tersebut ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi menjalani pemeriksaan kerana dipercayai kurang siuman dan mereka ditahan di wad hospital,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tiada tangkapan ke atas pasangan itu kerana polis hanya menjalankan pertanyaan awal.

Azman berkata, kedua-duanya disahkan negatif dadah dan mereka ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.