Pakej umrah disyaki tipu orang kampung, gantung lesen tak cukup, tegas pertubuhan

Pakej umrah disyaki tipu orang kampung, gantung lesen tak cukup, tegas pertubuhan

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia desak Jabatan Peguam Negara siasat sebuah syarikat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia bersama sebahagian mangsa penipuan umrah di pekarangan Jabatan Peguam Negara.
PUTRAJAYA:
Tindakan sekadar gantung lesen bukan penyelesaian masalah bagi sebuah syarikat agensi umrah yang disyaki memperdaya 180 bakal jemaah melibatkan kerugian RM1.3 juta, kata sebuah pertubuhan.

Justeru, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan tegas menyiasat syarikat itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

Setiausaha Agung Hishamuddin Hashim, mendakwa pihak disyaki terlibat penipuan menubuhkan syarikat baharu dan masih lagi menawarkan pakej umrah lain.

“Pengarah-pengarah perlu didakwa di bawah Seksyen 420, 415 atau 409 Kanun Keseksaan supaya lebih diberi keadilan kepada mangsa-mangsa (yang) ada ini.

“Banyak kalangan penipu (pengendali syarikat) umrah, apabila bila lesen batal, mereka guna nama syarikat lain dan masih lagi menawarkan pakej umrah lain,” katanya pada sidang media di hadapan bangunan Jabatan Peguam Negara.

Sebelum itu, satu surat permohonan kepada Jabatan Peguam Negara dihantar dan diserahkan kepada wakil jabatan untuk pertimbangan mengambil tindakan tegas kepada syarikat agensi umrah tersebut.

Turut hadir, lebih 50 mangsa yang ditipu daripada seluruh negara membawa plakad “Mohon dakwa syarikat tipu kami” dan “Kami merayu dakwa manusia ini atas tuduhan jenayah tipu Seksyen 420”.

Terdahulu, Hishamuddin berkata permohonan dibuat hari ini merupakan langkah terakhir apabila syarikat umrah berkenaan dikenakan award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Bagaimanapun, sehingga kini syarikat terbabit tidak membayar balik dan kes tertangguh apabila pengarah syarikat umrah berkenaan membuat semakan kehakiman.

“Mereka lakukan semakan kehakiman sama ada tindakan mahkamah tribunal ini mempunyai bidang kuasa atau tidak untuk memerintahkan syarikat umrah berkenaan membayar balik duit yang ditipu kepada mangsa.

“Kes masih tertangguh sehingga hari ini dan ada juga telah sampai ke pendakwaan negeri dan memutuskan mendakwa atas seksyen 403 Kanun Keseksaan. Namun, mangsa tidak berpuas hati kerana merasakan tindakan itu tidak tegas, serius, dan setimpal dengan kerugian ditanggung,” katanya.

Orang kampung susah jadi mangsa

Sementara itu, wakil mangsa, Sadiah A Majid berkata bermacam-macam cara telah dibuat untuk mendapatkan kembali wang yang ditipu tetapi sehingga kini masih belum berjaya.

Katanya, lebih menyedihkan kebanyakan mangsa ditipu merupakan orang kampung yang susah dan ada daripada mereka bekerja tanam sayur dan jual kuih.

“Kebanyakan daripada B40. Sudah kumpul duit dari awal dulu untuk tujuan beribadah.

“Kami sudah buat laporan polis. Kemudian pergi ke buat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Namun, hasil belum dapat lagi dan ada diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.

Sadiah juga menggesa tindakan tegas dikenakan kepada syarikat umrah terbabit kerana pihak terlibat masih bebas sehingga hari ini tanpa tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, rata-rata mangsa mahu pihak terlibat dikenakan tindakan melakukan kesalahan jenayah penipuan dan mengembalikan wang yang ditipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.