Malaysia, Turki kukuhkan ikatan perdagangan, kata Erdogan

Malaysia, Turki kukuhkan ikatan perdagangan, kata Erdogan

Presiden Turki mengetengahkan usaha bersama dalam teknologi tentera laut dan dron, serta pembinaan kumpulan kedua kapal misi pesisir untuk tentera laut Malaysia.

erdogan anwar ibrahim
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
PUTRAJAYA:
Malaysia dan Turki akan memperkukuh kerjasama dalam industri pertahanan, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Mengetengahkan usaha bersama dalam teknologi tentera laut dan dron ketika lawatan dua hari ke Kuala Lumpur, Erdogan berkata ikatan pertahanan antara dua negara memasuki fasa baharu.

Erdogan menyebut pembinaan kumpulan kedua kapal misi pesisir untuk tentera laut Malaysia menerusi perkongsian antara firma pertahanan Malaysia serta Turki.

“Kami telah mencapai ke tahap menuai hasil daripada visi ini. Dengan kerjasama syarikat industri pertahanan kami, pembinaan kumpulan kedua kapal misi pesisir sedang dijalankan,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Erdogan berkata, Turkish Aviation Industries akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 100 jurutera muda Malaysia.

Memperluas ikatan perdagangan, ekonomi

Erdogan berkata, Turki turut komited memperluas perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia, selepas perdagangan dua hala melepasi paras USD5 bilion (RM22.35 bilion) pada 2024, seiring sasaran sebelum ini.

Katanya, kedua-dua negara kini berusaha ke arah menggandakan perdagangan kepada USD10 bilion dengan cara seimbang.

“Daripada teknologi semikonduktor kepada automotif, daripada teknologi pesawat kepada simulator awam, kami ingin meningkatkan usaha bersama dalam setiap sektor dan bergerak maju bersama dalam pelbagai bidang dengan Malaysia,” katanya.

Erdogan juga berkata, lapangan terbang kedua terbesar Turki dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.