
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim memutuskan tiada merit dalam permohonan yang difailkan bekas Adun Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim dan bekas Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.
Hasnah yang bersidang dengan Hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Karim Jalil dan Vazeer Alam Mydin Meera bagaimanapun tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Kedua-dua bekas Adun itu menerusi peguam Azhar Azizan Harun memohon mahkamah memberikan kebenaran merayu dengan alasan terdapat empat persoalan undang-undang baharu untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun peguam A Surendra Ananth mewakili DUN Pulau Pinang dan Speaker Law Choo Kiang membantah bahawa pemohon gagal memenuhi keperluan bawah Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pada 8 Dis 2023 Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Anand Ponnudurai memutuskan bahawa Zulkifli dan Afif hilang kelayakan dengan cara yang betul untuk berada dalam DUN selepas dipecat daripada PKR mengikut Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang melarang tindakan lompat parti.
Selepas dipecat daripada PKR, Zulkifli dan Afif menyertai Bersatu, menyebabkan usul dikemukakan agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing.
Bagaimanapun, Anand memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Itu tidak terpakai bagi bekas Adun Bersatu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) kerana mereka tidak pernah meninggalkan parti.
Beliau memutuskan bahawa Khaliq Mehtab dan Zolkifly kekal Adun sebagai dari Mei 2018 hingga Jun tahun lepas serta memerintahkan agar semua hak kewangan tertunggak yang layak mereka terima dibayar sehingga DUN Pulau Pinang bagi tempoh itu dibubarkan.
DUN Pulau Pinang dan Law tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Anand mengenai Khaliq Mehtab dan Zolkifly.
Sementara itu, Zulkifli dan Afif gagal dalam permohonan di Mahkamah Rayuan pada 26 Nov tahun lepas.
Mereka kemudian memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan.
Keempat-empat bekas Adun terbabit memfailkan saman pemula memohon deklarasi mahkamah bahawa usul yang diluluskan oleh DUN Pulau Pinang pada 6 Mac 2023 agar mereka mengosongkan kerusi adalah batal dan tidak sah.
Mereka menamakan Law dan DUN Pulau Pinang sebagai defendan.
Keempat-empat mereka bertanding pada PRN 2018 menggunakan logo PKR. Ketika itu, Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.
Zulkifli dan Afif kemudian dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020. Bersatu meninggalkan PH pada 2020 dan membentuk kerajaan bersama BN, PAS serta beberapa parti Sabah dan Sarawak.
Pada prosiding hari ini, Zulkifli dan Afif turut diwakili peguam Chetan Jethwani.