Lelaki, teman wanita didakwa bunuh ibu kandung

Lelaki, teman wanita didakwa bunuh ibu kandung

JP Virginie berusia 60 tahun maut di sebuah rumah di Bagan Ajam, Butterworth dua minggu lalu.

gavel
J Ambrose, 24, dan S Litha, 20, tidak dibenar ikat jamin dengan mahkamah tetap 14 April depan tarikh sebutan semula kes. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Lelaki dan teman wanitanya didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan membunuh ibu kandung, dua minggu lalu.

J Ambrose, 24, dan S Litha, 20, mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan mereka bersama-sama didakwa menyebabkan kematian JP Virginie, 60, di sebuah rumah di Bagan Ajam, Butterworth antara 6.43 petang hingga 8.37 malam, 31 Jan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat minimum 12 kali jika sabit kesalahan.

Menurut Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan ia kesalahan tidak boleh dijamin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.