Kaut RM54,000 sebulan, sindiket antarabangsa tipu kerja tumpas di Melaka

Kaut RM54,000 sebulan, sindiket antarabangsa tipu kerja tumpas di Melaka

Sembilan suspek termasuk tiga warga China direman sehingga 11 Feb.

hacker scammer
Pemangku Ketua Polis Melaka Md Nazri Zawawi, berkata mangsa diarah membuat transaksi bayaran jika ingin meneruskan ‘kerja’ dengan dijanjikan komisen dalam mata wang dolar AS.
PETALING JAYA:
Sindiket antarabangsa penipuan pekerjaan yang meraih RM54,000 sebulan ditumpaskan polis Melaka susulan penahanan sembilan individu termasuk tiga warga China.

Pemangku Ketua Polis Melaka Md Nazri Zawawi, berkata sindiket bertindak mengiklankan tawaran pekerjaan palsu menerusi Facebook, dengan mangsa dijanjikan komisen antara USD70 hingga USD100 bagi setiap tugasan diberikan.

Katanya, mangsa berminat dengan tawaran itu akan berhubung dengan ahli sindiket melalui Whatsapp atau Telegram, kemudiannya diarah membuat 32 jenis tugasan menerusi laman web https://amcsthatres.com.

Beliau berkata, tugasan itu kononnya untuk menaikkan jumlah maklum balas hotel dan filem dan apabila selesai tugasan pertama, mangsa berminat meneruskannya diarah membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket.

“Mangsa turut dijanjikan dengan komisen antara USD70 hingga USD100 bagi setiap tugasan yang berjaya dilakukan, namun selepas membuat bayaran mangsa tidak dibayar komisen seperti yang dijanjikan,” katanya menurut Bernama.

Md Nazri ketika mengulas lanjut, berkata semua suspek kini direman empat hari sehingga 11 Feb, susulan penangkapan mereka sekitar 10 pagi, pada Jumaat lalu, di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana, Melaka.

Katanya, mereka ditahan membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita tempatan serta dua lelaki dan seorang perempuan warga China, berusia antara 26 hingga 43 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis barangan dianggarkan berjumlah RM30,000 iaitu antaranya satu komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 telefon bimbit pelbagai jenama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Md Nazri turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjadi mangsa dengan memastikan memohon pekerjaan melalui portal dipercayai dan tidak berkongsi maklumat peribadi seperti akaun bank sebelum pengesahan selain tidak terperdaya tawaran gaji terlalu lumayan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.