Israel perlu bayar pampasan USD100 bilion kepada Gaza, kata Erdogan

Israel perlu bayar pampasan USD100 bilion kepada Gaza, kata Erdogan

Presiden Turki meminta semua negara tingkat usaha ke arah penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Kemusnahan di Jabaliya, Semenanjung Gaza akibat serangan udara dan darat rejim Zionis. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Israel perlu membayar pampasan atas kerosakan dan kemusnahan kesan perang lebih 15 bulan di Gaza dianggarkan berjumlah USD100 bilion, kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

“Kerajaan Israel mesti membayar pampasan atas kemusnahan yang mereka lakukan dan proses pembinaan semula di Gaza mesti dimulakan dengan ini.

“Setiap kerosakan yang tidak dibayar akan menjadikan pelakunya lebih ganas,” katanya menurut Berita Harian ketika menyampaikan syarahan umumnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Berdasarkan pengalaman memulihkan wilayahnya daripada kerosakan dan kemusnahan akibat gempa bumi pada 6 Feb 2023, Erdogan yakin Gaza dapat dibangunkan semula dalam waktu singkat.

“Kita boleh mencapai kejayaan pembinaan dan pemulihan yang sama di Gaza. Sudah tentu, kita boleh membawa Gaza kembali bangkit dalam masa yang sangat singkat. Asalkan wang ini, yang rakyat Gaza sudah berhak dapat, dikumpul dari Israel.

“Begitu juga rumah, tanah dan tempat kerja yang dirampas Israel dan peneroka penyangak harus dikembalikan kepada rakyat Palestin.”

Pada masa sama, tegasnya, semua negara perlu meningkatkan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan bersepadu secara geografi dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Saya percaya semua ini kewajipan persaudaraan dan hutang hati nurani kepada rakyat Palestin tertindas.”

Beliau berkata, sistem direka bentuk sejak 80 tahun lalu dalam keadaan luar biasa dan didominasi negara kuasa besar tertentu, tidak lagi sesuai dengan landskap geopolitik semasa.

“Kita memerlukan pemahaman dan susunan global baharu untuk selesai masalah kita daripada ekonomi kepada diplomasi, daripada perdagangan kepada keselamatan.

“Pembinaan sistem yang merangkumi semua orang, adil dan inklusif, serta berdasarkan kepercayaan adalah satu keperluan lebih daripada keutamaan.

“Moto kami – dunia lebih besar daripada lima (merujuk lima negara veto) sudah menjadi salah satu simbol pencarian untuk aturan dunia baharu ini.

“Kita mesti percaya kepada kemungkinan membina aturan dunia baharu, di mana keamanan mengatasi konflik, kepercayaan mengatasi ketakutan, keamanan mengatasi keganasan dan kemakmuran mengatasi kemiskinan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.