
Berucap pada sebuah majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sempena lawatan dua hari Erdogan ke Malaysia, perdana menteri berkata, hubungannya dengan pemimpin Turki itu dibina atas kepercayaan bersama yang terjalin melalui kesusahan.
Beliau mengimbau bagaimana Erdogan dan keluarganya menghubungi beliau dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail secara peribadi pada saat sukar.
“Ketika melalui kesusahan, beliau menghulurkan bantuan apabila ramai berpaling tadah,” kata Anwar dalam ucapannya.
“Sokongannya bukan sembarangan atau direka untuk kepentingan politik. Ia ekspresi persaudaraan tulen.
“Sokongan anda, kawan saya, saudara saya, bukan atas sebab politik. Ia ekspresi persahabatan dan simpati tulen.
“Saya tidak pernah lupakan kebaikan awak. Rakyat Malaysia tidak akan pernah lupakannya.”
Erdogan dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia dan kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pengukuhan hubungan dua hala dalam kerjasama pertahanan, perdagangan serta kebudayaan.
Persahabatan Anwar dan Erdogan terjalin sejak zaman beliau dalam pembangkang serta era Reformasi.
Pada 2008, Anwar memohon perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur ketika berdepan tuduhan jenayah liwat.
Anwar memuji Erdogan pemimpin berwawasan yang membawa Turki melalui tempoh transformasi sejak dua dekad lalu.
Beliau turut menyifatkan Erdogan pemimpin mempunyai ketegasan moral dan keberanian atas pendiriannya terhadap Palestin.
“Ketika prinsip sering dikorbankan demi kesenangan, beliau lantang menentang perampasan, pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai.
“Sokongan Turki tidak terkata. Ia nyata, diplomatik dan teguh.”