Anwar digesa campur tangan selepas KDN tolak memorandum Sosma

Anwar digesa campur tangan selepas KDN tolak memorandum Sosma

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata perdana menteri sendiri pernah bertemu tahanan Sosma ketika dipenjara di Sungai Buloh.

Keluarga tahanan Sosma berkumpul di pekarangan Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, pagi ini.
PUTRAJAYA:
Satu NGO menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan menerima memorandum daripada keluarga tahanan Sosma yang menuntut jawapan segera melibatkan kesejahteraan tahanan.

Keluarga berkenaan yang melancarkan mogok lapar di pekarangan Penjara Sungai Buloh minggu lalu, berhimpun di bangunan KDN bagi mendesak diadakan pertemuan dengan pegawai dan untuk menyerahkan memorandum itu.

Sevan Doraisamy, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi manusia, Suaram, berkata pegawai KDN ada bertemu dengan pihak keluarga, namun hanya memberitahu beliau akan menyampaikan kebimbangan disuarakan.

Beliau menyeru Anwar melihat perkara itu, sambil menyatakan beliau sendiri pernah dipenjara di Sungai Buloh dan ada bertemu dengan tahanan Sosma ketika pemenjaraan.

“KDN seperti kubu, tidak mahu berurusan dengan orang awam,” kata Sevan.

“Jika KDN tidak mahu melayan perkara ini, tiba masa untuk mendapatkan perhatian perdana menteri.

“Tuntutan keluarga mudah sahaja – mahu bertemu pegawai dan menghantar memorandum. Ini sepatutnya perkara mudah. Bawa masuk wakil (pihak keluarga) ke dalam bagi perbincangan 30 minit dan terima dokumen.”

Sevan berkata, pihak keluarga kini mempertimbangkan tindakan lanjut, termasuk menyambung mogok lapar, berterusan melakukan protes di pekarangan KDN, atau berarak ke Jabatan Perdana Menteri.

Beliau turut menekankan tahanan masih melakukan mogok lapar dengan memaklumkan lebih 20 individu mengambil bahagian.

Kira-kira 50 orang termasuk ahli keluarga tahanan Sosma, berkampung di pekarangan penjara minggu lalu untuk protes penolakan permohonan lawatan.

Permohonan ditolak pada Jumaat selepas pegawai penjara berkata, pejabat akan ditutup selama lima hari kerana cuti Thaipusam. Thaipusam jatuh pada Selasa, 11 Feb.

Mereka memutuskan melakukan mogok lapar bagi bersolidariti dengan tahanan selepas Suhakam pada Rabu, berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan penjagaan kesihatan tidak adil dan penangguhan perbicaraan didepani beberapa tahanan Sosma.

Sekitar 2.30 petang, Sevan memberitahu media bahawa ahli keluarga kini di hadapan pintu masuk kompleks KDN dan menunggu di pekarangan bangunan utama.

Anggota Rela menghalang kemasukan mereka dalam bangunan itu.

“Kami akan tunggu di sini sehingga ada wakil daripada KDN yang mengambil serius dengan keadaan ini,” kata Sevan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.