Terima kes jika kamu bersedia, hakim nasihat peguam

Terima kes jika kamu bersedia, hakim nasihat peguam

Hakim Aslam Zainuddin berkata peguam perlu sentiasa mengamalkan amalan dan etika peguam ketika menjalankan tugas mereka.

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan satu kes jenayah selepas memutuskan kes itu boleh diputuskan tanpa mendengar rayuan daripada peguam.
PETALING JAYA:
Seorang hakim mengingatkan peguam supaya tidak menerima kes jika mereka tidak dapat hadir ke mahkamah atau tidak bersedia untuk perbicaraan.

Hakim Aslam Zainuddin berkata, peguam harus sentiasa mengingati Peraturan 6 dan 24 di bawah Kaedah Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978 yang mengawal selia tatacara profesion mereka.

Beliau membuat teguran itu ketika menolak rayuan Joseph Onod dan Chan Wan Chuan, yang disabitkan bersalah oleh seorang majistret di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk minuman beralkohol secara haram ke negara ini.

Aslam berkata, beliau telah menangguhkan pendengaran rayuan itu sebanyak tiga kali tahun lalu kerana peguam perayu gagal memfailkan hujahan bertulis.

Katanya, pihak pendakwaan, yang merupakan responden dalam rayuan itu, juga tidak mengemukakan hujahan untuk dipertimbangkan mahkamah.

Aslam berkata, walaupun peguam hadir pada hari pendengaran dan menyatakan beliau hanya menyebut kes bagi pihak peguam utama perayu, ini tidak melepaskannya daripada tanggungjawab mengendalikan kes tersebut kerana beliau adalah pegawai mahkamah.

Kata hakim itu lagi, jika seorang peguam, atas apa jua sebab, tidak bersedia untuk mengendalikan sesuatu kes, beliau tidak sepatutnya hadir di mahkamah.

Aslam menggambarkan tindakan peguam kedua-dua perayu sebagai tidak wajar kerana menghantar rakan peguam ke mahkamah ‘seperti kambing untuk disembelih’, kerana tidak bersedia untuk mengendalikan kes yang ditetapkan untuk perbicaraan pada hari itu.

“Adalah sangat yakin bagi beliau untuk beranggapan mahkamah akan menangguhkan kes ke tarikh lain buat kali keempat hanya kerana beliau tidak mengemukakan sebarang hujahan,” katanya dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan baru-baru ini..

Onod dan Chan kini membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan keputusan Aslam atas alasan mereka tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana keputusan dibuat tanpa kehadiran peguam mereka serta timbalan pendakwa raya kastam.

Aslam berkata beliau menolak rayuan itu selepas berhati-hati meneliti rekod rayuan dan alasan penghakiman majistret, serta berpendapat sabitan ke atas kedua-dua mereka adalah selamat.

“Tiada halangan dalam undang-undang atau prosedur jenayah yang menghalang mahkamah daripada membuat keputusan tanpa hujahan daripada pihak-pihak terlibat.

“Membuat keputusan tanpa hujahan peguam tidak bermakna hak perbicaraan yang adil dinafikan. Mahkamah tidak boleh dianggap akan menunggu sampai bila-bila, hingga mereka mengemukakan hujahan,” katanya.

Aslam merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2010 dalam kes Diana Nelson Tanoja v Pendakwa Raya, yang memutuskan bahawa di bawah Seksyen 181(1) Kanun Prosedur Jenayah, seorang hakim perbicaraan boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan peguam jika beliau mahu.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan itu menyatakan peguam yang menyoal saksinya, dan selepas pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula, peguam boleh menggulung kesnya.

“Perkataan ‘boleh’ menunjukkan budi bicara,” katanya, sambil menambah walaupun keputusan membincangkan situasi di akhir perbicaraan jenayah, prinsip itu turut terpakai dalam kes yang dikendalikannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.