Peluang baik di kerusi tier 2 dengan kerjasama BN-PH, kata pemimpin Umno

Peluang baik di kerusi tier 2 dengan kerjasama BN-PH, kata pemimpin Umno

Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata kerjasama BN-PH membolehkan kedua-dua parti memanfaatkan kekuatan masing-masing menarik pengundi atas pagar.

bn ph
Ketua Pemuda Umno Noor Azleen Ambros berkata kerjasama itu akan memastikan pertandingan dua penjuru di kerusi berkenaan.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi Parlimen Tier 2 pada PRU akan datang jika berganding bahu dengan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros.

Katanya, kerjasama pilihan raya ini akan membolehkan kedua-dua gabungan memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi menarik sokongan pengundi atas pagar.

“Susunan ini juga akan memastikan pertandingan dua penjuru di kerusi tersebut, sekali gus meningkatkan peluang kita untuk menang,” katanya kepada FMT.

Noor Azleen Ambros
Noor Azleen Ambros.

Azleen mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, yang berkata BN akan berdepan cabaran besar untuk menarik sokongan pengundi muda atas pagar di tier 2, khususnya mereka berusia 18 hingga 20 tahun.

Pada Ahad, Presiden Umno Zahid Hamidi yakin parti itu mampu menawan kerusi tier 2 – kawasan di mana BN berada di kedudukan kedua pada PRU 2022.

Hisommudin berkata pada PRU lalu BN berdepan kesukaran meraih undi belia dan mengalami kekalahan terburuk dalam sejarahnya dengan hanya memenangi 30 kerusi.

Azleen berkata prestasi kerajaan akan menjadi faktor penting dalam menarik sokongan pengundi muda.

“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, kita perlu memastikan dasar-dasar kita relevan dengan anak muda, terutama dalam isu gaji, perumahan dan kos sara hidup,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui beberapa dasar kerajaan seperti reformasi subsidi – terutama subsidi bersasar RON95 yang dijangka diperkenalkan pertengahan tahun ini – mungkin tidak popular dalam kalangan pengundi muda.

Ketua Umno Subang, Arman Azha Abu Hanifah pula berpendapat pandangan Hisommudin adalah peribadi dan tidak mencerminkan realiti politik semasa.

“Pada PRU 2022, BN berdepan dua gabungan besar, Perikatan Nasional (PN) dan PH. Serangan dari kedua-dua pihak menyumbang kepada prestasi buruk kita,” katanya.

Beliau juga berkata sokongan pengundi muda semakin baik, merujuk kepada PRK Nenggiri di Kelantan dan PRK Mahkota di Johor di mana sokongan belia terhadap BN meningkat.

“Kita tidak boleh terlalu selesa. Kita perlu terus bekerja keras dan fokus untuk memenangi kerusi tier 2,” katanya.

Arman juga mencadangkan jika BN meneruskan kerjasama dengan PH, Umno harus meminta PH memberi laluan kepada BN di beberapa kerusi separuh bandar dan bandar.

“Penting untuk mempunyai mentaliti kemenangan dan mengurangkan perbalahan dalaman. Kita perlu mengekalkan momentum bagi mempertahankan kerusi sedia ada dan merampas kembali yang telah hilang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.