
Ketua Pengarahnya Adnan Hussain berkata projek itu memberi tumpuan kepada usaha mengawal dan mengurangkan kapasiti perikanan secara berlebihan di zon ekonomi eksklusif (ZEE) Asean
Katanya, projek yang dikenali sebagai Pelaksanaan dan Penilaian Pelan Tindakan Serantau Asean bagi Pengurusan Kapasiti Perikanan ini bertujuan memastikan kemampanan stok ikan, lapor Bernama.
“Pelaksanaan projek ini akan menyumbang ke arah pengurangan kapasiti berlebihan di ZEE setiap negara dan memastikan pengurusan stok ikan pada tahap yang optimum,” katanya.
Adnan berkata sempena kepengerusian Asean 2025, DOF terlibat secara langsung dalam pelbagai program serantau dengan matlamat mencapai kelestarian sumber perikanan.
Katanya, selain platform Asean, DOF juga aktif melalui organisasi serantau iaitu Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) dengan Malaysia mempunyai pejabat di Terengganu bagi mengurus sumber perikanan di rantau Asia Tenggara.
Pada 2020, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan hampir 95% stok ikan global mengalami tangkapan berlebihan atau berada pada tahap maksimum hasil tangkapan lestari.
Malaysia kini berada di kedudukan keenam dalam kalangan 20 negara teratas dalam industri perikanan tangkapan, dan pakar memberi amaran bahawa spesies makanan yang menjadi sasaran mungkin lenyap menjelang 2048 jika penangkapan ikan berlebihan terus berlaku.
Nelayan Malaysia menangkap kira-kira satu juta tan makanan laut setiap tahun, dengan kira-kira 40,000 tan disimpan sebagai bekalan sejuk beku.