
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata baginda tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan tersebut di negeri ini, mengatakan ia dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian pada ketika rakyat giat mengeratkan amalan muhibah.
“Agama Islam adalah agama rahmah yang menyantuni semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam,” kata Na’im dalam kenyataan.
Cadangan garis panduan itu yang tidak dipersetujui itu antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan di Facebook Pejabat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin berkata polemik yang tercetus sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dalam masyarakat, dan pasti akan menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin.
Baginda berkata Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik justeru isu terpesong akidah susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana baginda percaya umat Islam tahu batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.
Sultan Sharafuddin juga menasihatkan umat Islam di Selangor agar sentiasa berusaha memperkukuh akidah dan iman dengan mendalami ilmu agama.
Na’im hari ini berkata titah Sultan Selangor agar umat Islam sentiasa berusaha untuk memperkukuh akidah dan iman akan dilaksanakan segera oleh agensi-agensi di bawah menteri hal ehwal agama, dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri, “bagi memperhebatkan usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah kepada umat Islam”.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama lebih giat dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menganjurkan program-program dialog harmoni yang mempromosikan perpaduan dalam negara, selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri kelmarin.
“Pada masa sama, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuh keharmonian dan interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam,” katanya.
Jemaah Menteri membincangkan cadangan garis panduan kontroversi itu susulan persoalan dan teguran daripada pelbagai pihak.
Ia mengingatkan setiap dasar yang dirangka perlu ambil kira aspek perpaduan nasional, serta mendapatkan kelulusannya terlebih dahulu.