Sesi libat urus waktu kerja jururawat dimuktamad akhir bulan ini

Sesi libat urus waktu kerja jururawat dimuktamad akhir bulan ini

Beberapa kumpulan jururawat tidak bersetuju dengan tambahan waktu kerja daripada 42 kepada 45 jam seminggu mulai 1 Dis lalu.

DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata KKM komited menangani kebimbangan jururawat dan memastikan hasil terbaik untuk pekerja penjagaan kesihatan serta pesakit. (Gambar Bernama)
SEBERANG PERAI:
Sesi libat urus di seluruh negara untuk mengumpul maklum balas penambahan waktu kerja jururawat dijangka selesai akhir bulan ini, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Sebelum ini, beberapa kumpulan jururawat tidak bersetuju dengan tambahan waktu bekerja daripada 42 kepada 45 jam seminggu mulai 1 Dis lalu.

Dalam sidang media di sini, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara itu dan sudah mengadakan libat urus dengan jururawat di hospital awam di Pulau Pinang, Pahang, Sabah serta Johor. Sesi akhir dijadualkan berlangsung di Terengganu minggu depan.

Menurutnya, beliau mengambil maklum maklum balas diterima dan memberitahu perkembangan itu kepada Kabinet serta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Berhubung 45 jam bekerja seminggu, media tahu saya sudah hadir empat sesi libat urus,” katanya di Klinik Kesihatan Sungai Dua di sini.

“Izinkan kami (KKM) mengadakan semua libat urus ini dulu…saya harap akan dapat keputusan baik untuk jururawat.”

Beliau berkata, KKM komited menangani kebimbangan jururawat dan memastikan hasil terbaik untuk pekerja penjagaan kesihatan serta pesakit.

November lalu, lima persatuan kejururawatan berkata, tinjauan dalam kalangan jururawat mendapati tambahan waktu bekerja mingguan jururawat boleh menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kualiti penjagaan pesakit.

Bulan lalu, Jururawat Lelaki Malaysia (MMN) mengkritik keputusan KKM mewajibkan jururawat meneruskan kerja 45 jam seminggu. Ini menyusul keputusan Kabinet membatalkan cadangan sistem syif Waktu Bekerja Berlainan (WBB) pilihan untuk pekerja penjagaan kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, KKM tidak menerima sebarang maklumat Malaysia terjejas penarikan balik produk Coca-Cola akibat penemuan paras klorat yang tinggi.

Katanya, hanya Belgium, Luxembourg, Belanda dan United Kingdom terjejas penarikan balik beberapa minuman dikeluarkan Coca-Cola EuroPacific Partners.

“Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM akan terus memantau keadaan.”

Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang hari ini meminta KKM menangguhkan penjualan produk Coca-Cola sementara menunggu keputusan ujian susulan penarikan balik produknya di Eropah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.