Saya tak layak jadi duta besar ke AS, Ong beritahu Nazri

Saya tak layak jadi duta besar ke AS, Ong beritahu Nazri

Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata ada calon yang difikirkannya lebih sesuai untuk peranan itu.

Ong Kian Ming Nazri Aziz
Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming memberitahu Duta Besar Malaysia ke AS Nazri Aziz yang tamat kontrak hari ini, beliau tidak berminat dengan jawatan itu.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, berkata beliau tidak layak menjadi duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) menggantikan Nazri Aziz yang mendakwanya melobi untuk jawatan itu.

Walaupun beliau yakin boleh melakukannya lebih baik daripada Nazri – yang kontraknya tamat hari ini – Ong berkata, ada calon lain yang difikirkannya lebih sesuai untuk peranan itu.

“Cara pemikiran Nazri sangat ‘old school (pemikiran lama) Umno’…memikirkan orang lain mengejar jawatan ini atau itu,” kata Ong yang juga bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

“Saya tak layak berdasarkan kriteria pertama yang saya kemukakan – saya tiada akses langsung kepada (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim).”

Ong yang semalam mendakwa Nazri gagal mengatur panggilan telefon Anwar dengan Presiden AS, Donald Trump, mencadangkan lima nama untuk pertimbangan Putrajaya sebagai duta Malaysia ke AS baharu.

Mereka adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, bekas pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak, bekas Ahli Parlimen Yusmadi Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia Faiz Abdullah.

Ong berkata, pengganti Nazri perlu mempunyai akses terus kepada Anwar untuk menyampaikan maklumat penting mengenai hubungan dua hala dan memberi cadangan cara terbaik mengadakan libat urus dengan Trump, Kabinet serta Kongresnya.

Selain mempunyai akses kepada anggota Kabinet utama untuk mengesyorkan kedudukan dasar strategik, katanya, pengganti Nazri perlu melibatkan diri secara terbuka dan persendirian dengan pemegang berkepentingan utama dalam struktur kuasa AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.