Rakyat Malaysia tamat tempoh visa AS dinasihat dapatkan sijil kecemasan

Rakyat Malaysia tamat tempoh visa AS dinasihat dapatkan sijil kecemasan

Langkah itu perlu sebelum pihak berkuasa ambil tindakan susulan laporan 1.44 juta individu bukan warga AS terima arahan akhir pengusiran.

police ice
Pengusiran besar-besaran membabitkan kira-kira 1.44 juta individu disebabkan pentadbiran Donald Trump sedang menepati janji manifesto pilihan raya presiden AS. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) yang tamat tempoh visa dinasihatkan ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia negara itu mendapatkan sijil kecemasan untuk pulang ke tanah air.

Duta Besar Malaysia ke AS, Nazri Aziz, berkata langkah itu perlu sebelum pihak berkuasa negara tersebut mengambil tindakan terhadap mereka susulan laporan 1.44 juta individu bukan warganegara AS menerima arahan akhir pengusiran daripada agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).

Katanya, tindakan sama juga perlu diambil 435 rakyat Malaysia yang berada dalam senarai itu.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini Kedutaan Besar Malaysia di AS tidak menerima sebarang notis pengusiran daripada ICE mahu pun pihak berkuasa AS berhubung perkara itu.

“Sekiranya mereka datang ke kedutaan, kita boleh berikan bantuan konsulat dengan mengeluarkan sijil kecemasan (emergency certificate) yang membolehkan mereka pulang ke tanah air tanpa sebarang hukuman.

“Tetapi setakat ini, masih tiada yang tampil dan pada masa sama pihak kedutaan juga tidak tahu identiti mereka yang tersenarai dalam tindakan pengusiran tersebut,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Nazri berkata, rakyat Malaysia yang masuk ke AS melalui ‘jalan tikus’ dari Mexico atau Kanada sangat sedikit sebaliknya kebanyakan mereka masuk secara sah namun tinggal lebih masa.

Katanya, ini mengakibatkan nama mereka masuk dalam senarai penyingkiran apabila pentadbiran Presiden Donald Trump menguatkuasakan polisi warga negara asing di AS.

“Kebanyakan mereka masuk ke AS sebagai pekerja dan menetap di New York dan Los Angeles, tetapi disebabkan visa mereka sudah tamat tempoh namun masih kekal di AS, ICE mengambil tindakan.

“Nasihat saya, jika ada rakyat Malaysia yang visanya sudah tamat tempoh, datang ke kedutaan, kita akan keluarkan sijil kecemasan untuk pulang ke tanah air sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata pengusiran besar-besaran membabitkan kira-kira 1.44 juta individu tersebut disebabkan pentadbiran Trump sedang menepati janji manifesto pilihan raya presiden tahun lalu untuk mengusir migran asing tanpa dokumen menetap di AS secara tidak sah.

Katanya, tindakan Trump bukan kejutan sebaliknya ia janji pilihan raya dibuatnya ketika mewakili Parti Republikan tempoh hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.