
Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook, berkata semua lelaki berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun itu ditahan di lokasi kejadian dan sekitar daerah itu kira-kira 11 malam hingga 3 pagi tadi.
“Polis sebelum itu menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan dua kereta pada 10 malam dan sebaik tiba di lokasi, didapati dua kumpulan lelaki sedang bertengkar.
“Akibat pertengkaran itu, tiga lelaki cedera selepas diserang menggunakan topi keledar dan dirujuk ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan, keadaan mereka kini dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan.
Semua direman selama empat hari hingga 11 Feb bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Hoo mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi IPD Jempol di talian 06 4582222 atau Pegawai Penyiasat Umu Fatihah Sulaiman di talian 019 5553065.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 33 saat di media sosial memaparkan insiden pergaduhan yang berjaya dileraikan polis.