
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Saaidah Athman, berkata kesatuan tidak bersetuju langkah jangka pendek itu kerana berpendapat jururawat baharu perlu mempunyai kelayakan mencukupi seperti ditetapkan sebelum ini.
“Kesatuan tidak bersetuju dengan langkah ini sebagai penyelesaian (sementara) bagi menangani kekurangan jururawat kerana kami bimbang ia akan menjejaskan kualiti kejururawatan dan penjagaan pesakit,” katanya kepada FMT.
Pada Isnin, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengesahkan surat edaran kelonggaran syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan daripada lima kepujian dalam SPM kepada tiga.
Beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan, menasihatinya bahawa kelonggaran itu diperlukan berikutan kekurangan jururawat yang kritikal di negara ini.
Sebelum ini, calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya lima kredit, termasuk dalam mata pelajaran bahasa Melayu, matematik, dan satu subjek sains, serta lulus bahasa Inggeris.
Bawah syarat baharu, pemohon hanya perlu memperoleh kredit dalam bahasa Melayu, matematik, dan satu subjek sains, serta lulus dua mata pelajaran lain, termasuk bahasa Inggeris.
Kelonggaran itu hanya akan terpakai kepada pelajar yang mendaftar bagi pengambilan 2025 dan 2026.
Saaidah mencadangkan KKM mempercepatkan latihan jururawat menerusi program peningkatan secara lantikan (PSL) bagi membolehkan jururawat komuniti sedia ada diserap serta-merta.
Program PSL membolehkan jururawat komuniti tanpa diploma layak menjadi jururawat berdaftar melalui latihan dan penilaian.
Bekas pegawai KKM, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata kelonggaran sementara syarat kemasukan boleh diterima sebagai langkah jangka pendek tetapi Putrajaya perlu menangani isu lebih menyeluruh kekurangan jururawat secara lebih holistik.
“Kerajaan perlu menawarkan insentif tambahan bagi menarik lebih ramai individu menyertai bidang kejururawatan, seperti gaji lebih baik, persekitaran kerja yang kondusif, beban tugas yang terkawal, serta hala tuju kerjaya yang jelas,” katanya.
Beliau turut berpendapat, kelonggaran syarat kemasukan tidak akan menjejaskan kualiti penjagaan kesihatan, namun institusi latihan perlu menyesuaikan kurikulum mereka bagi memastikan pelajar mendapat latihan secukupnya.
Zainal, yang pernah menerajui Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, menggesa bakal jururawat perlu melalui penilaian ketat, dan graduan harus terus dipantau bagi memastikan standard kualiti dikekalkan.
Pada Mei tahun lalu, Dzulkefly berkata kekurangan jururawat di hospital dijangka mencecah hampir 60% menjelang 2030.