Hapus kartel dulu sebelum pinda akta padi beras, kata pakar

Hapus kartel dulu sebelum pinda akta padi beras, kata pakar

Shahul Hamid Abd Rahim berkata isu beras putih tempatan tidak dapat dinoktahkan selagi wujud kegiatan kartel.

beras
Pakar berkata bekalan beras tempatan tidak menentu selagi ada kartel.
PETALING JAYA:
Kegiatan kartel perlu dihapuskan terlebih dahulu sebelum kerajaan mengambil langkah meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bagi menoktahkan isu beras putih tempatan, kata pakar jenayah.

Ia susulan cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, tindakan manipulasi beras tempatan dan import ditetapkan sebagai kesalahan jenayah bawah akta itu bagi menimbulkan kegerunan dalam kalangan pengilang.

Pakar jenayah dan kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim, berkata pindaan undang-undang itu adalah langkah baik namun tidak mendatangkan hasil kerana wujud kegiatan kartel yang mengawal pemprosesan.

“Bekalan beras tempatan tak menentu selagi ada jenayah kartel. Kejap ada kejap tiada sebab mereka yang kawal.

Shahul Hamid Abd Rahim
Shahul Hamid Abdul Rahim.

“Pinda mahupun tambahan kepada undang-undang sedia ada pun tiada guna. Pengilang terbabit boleh terlepas dengan bantuan kartel. Maka hapuskan mereka dahulu, itu lagi penting,” katanya kepada FMT.

Shahul turut mencadangkan penggabungan penguat kuasa agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan dalam isu kartel.

“Makin berleluasa dan ‘kebal’. Seolah-olah tiada yang dapat mengusik mereka,” katanya.

Sementara itu, pakar pertanian dari Universiti Malaya, Muhammad Shakirin Mispan, berpendapat takrifan mengenai akta tersebut perlu jelas dan selari dengan penguatkuasaan kelak.

Muhammad Shakirin Mispan.
Muhammad Shakirin Mispan.

“Beras putih tempatan dan import adalah sukar dibezakan. Saya risau tindakan tetap tidak terlaksana atas sebab teknikal sekiranya akta tersebut ‘berjalan’,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu membezakan pengilang beras tempatan dan beras import menerusi penetapan pemprosesan padi masing-masing.

“Ini bermakna kawalan dapat dilakukan di peringkat pemprosesan itu sendiri. Jadi kita tahu bahawa beras import dihasilkan dari kilang A dan beras tempatan adalah dari kilang B.

“Maka tiada percampuran boleh dilakukan sekiranya perkara tersebut berlaku sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.