
Menteri kewangan II berkata, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan keputusan lebih tepat dan adil.
“Kita berharap Kementerian Ekonomi akan memuktamadkan perkara itu dalam masa terdekat, tetapi apa yang penting ialah usaha memuktamadkan tangga pendapatan terbabit perlu dibuat dengan kefahaman dan data yang tepat.
“Kita tidak mahu buat dengan cepat atau laju kerana tidak mahu salah. Jadi, beri masa untuk Kementerian Ekonomi habiskan usaha mereka,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas melancarkan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) bawah CIMB di Pusat Komuniti Pinggiran Bukit Jalil 2.
Oktober lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan belum memuktamadkan klasifikasi pendapatan T15 yang dijangka dikecualikan beberapa subsidi tahun ini.
Kerajaan turut menolak tanggapan sesetengah pihak mentakrifkan T15 sebagai isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas, sebagaimana definisi digunakan ketika ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, klasifikasi T15 akan ditentukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah serta lokasi tempat tinggal mereka.