
Pengerusinya, Ng Yap Hwa berkata, aspek saksi perlu diberi perhatian memandangkan struktur bangunan lokasi kejadian sudah berubah.
“Saksi penting (pada masa ini). Harap polis boleh bertindak secara bebas dan profesional dalam siasatan baharu,” katanya selepas keterangannya dirakam di IPK Selangor petang tadi.
Menurut Ng, beliau turut menyerahkan rumusan berkaitan operasi SPRM serta senarai 34 pegawai yang terlibat ketika itu kepada polis semasa keterangannya diambil.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong, yang turut hadir memberi sokongan, mengakui wujud kesukaran dan cabaran besar untuk menjalankan siasatan semula kes yang berlaku 16 tahun lepas.
Beliau bagaimanapun berharap siasatan akan dipermudah dengan penggunaan teknologi baharu.
“Satu siasatan menyeluruh perlu dijalankan supaya rakyat dapat mengetahui kebenaran dan pelaku akan dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya.
Dilaporkan kelmarin polis menggunakan peralatan imbasan 3D bagi membina semula lokasi kejadian kes kematian Teoh di Plaza Masalam, Shah Alam untuk memperkemas siasatan.
Pada 21 Nov lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis melengkapkan siasatan kes kematian Teoh dalam tempoh enam bulan.
Teoh, ketika itu setiausaha politik Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.