
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpandangan Gerakan secara prinsip mahu membawa hala tuju baharu namun masih jauh dari segi praktikal.
“Mahu atau tidak, naratif politik lama membawa sentimen perkauman masih menjadi tunggangan Gerakan.
“Walaupun Gerakan mahu buktikan mereka boleh lari dari naratif identiti tetapi realitinya naratif itu masih belum terbina,” katanya kepada FMT.
Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata Gerakan perlu memikirkan semula mengapa mereka sukar menarik undi bukan Melayu, berbanding DAP yang meraih sokongan padu walaupun bekerjasama dengan Umno.
“Nasihat saya kepada Gerakan, cuba menongkah arus PAS walaupun mereka berada dalam Perikatan Nasional (PN), seperti mana DAP dengan Umno walaupun mereka berada dalam kerajaan sama,” katanya merujuk pertikaian beberapa pemimpin kerajaan dari dua parti itu.
Baru-baru ini, media melaporkan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong mengkritik DAP kerana tidak menentang dasar mengutamakan orang Islam dan kaum Melayu ketika dalam kerajaan perpaduan sejak PRU15.
Kritikan itu menyusuli kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi pada Ahad lalu, bahawa Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook tidak pernah membantah kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sejak tertubuhnya kerajaan perpaduan.
Kelmarin, Oh menjelaskan beliau bukan menentang dasar Islam tetapi mendedahkan sikap sebenar DAP yang berpendirian berbeza ketika berkuasa berbanding sewaktu menjadi pembangkang.
Tindakan Oh itu dilihat bercanggah langkah Gerakan mahu mengubah naratif politik berasaskan etnik kepada perjuangan kebimbangan sejagat, merangkumi kepentingan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Syahredzan Johan, yang membidas kenyataan itu mendakwa PN dianggotai Gerakan mengamalkan politik perpecahan.
Mengulas lanjut, Azmi berkata kritikan Gerakan itu menunjukkan parti itu semakin tertekan untuk menarik sokongan komuniti bukan Islam, terutama masyarakat Cina.
“Paling mudah serang DAP dan jadikannya sebagai kambing hitam,” katanya.
Lau bagaimanapun berkata Gerakan berada pada kedudukan yang paling sukar untuk menambat hati pengundi bukan Melayu.
“Tak kiralah apa cara yang mereka lakukan termasuk mencabar DAP atau apa pun, memang sukar nak dapat sokongan,” katanya.