Reformasi akta JAC perlu untuk elak krisis kehakiman berulang, kata bekas timbalan menteri

Reformasi akta JAC perlu untuk elak krisis kehakiman berulang, kata bekas timbalan menteri

Ramkarpal Singh berkata pembaharuan diperlukan segera untuk hapus persepsi ada pengaruh eksekutif dalam pelantikan hakim.

Ramkarpal Singh kata kuasa perdana menteri untuk menolak hakim yang disyorkan mesti dihapus bagi mengelakkan sebarang persepsi campur tangan eksekutif.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata beliau bimbang krisis kehakiman pada 1988 akan berulang melainkan pembaharuan segera dilakukan untuk melindungi kebebasan badan kehakiman.

Ramkarpal Singh berkata terdapat keperluan untuk merombak Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695), sambil menambah bahawa kuasa perdana menteri untuk menolak hakim yang disyorkan mesti dihapuskan bagi mengelakkan sebarang persepsi campur tangan eksekutif.

“Proses pelantikan JAC memerlukan pembaharuan segera untuk memastikan persepsi ada pengaruh eksekutif dalam melantik hakim terhapus,” kata Ramkarpal kepada FMT.

Beliau berkata kegagalan untuk bertindak boleh menjejaskan keyakinan orang ramai pada badan kehakiman, mengambil contoh krisis kehakiman pada 1988 apabila kerajaan memecat bekas ketua hakim negara, Salleh Abas, dan dua hakim Mahkamah Agung lalu mencetuskan krisis perlembagaan.

Di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memperakui penambahbaikan dalam badan kehakiman, serta sabitan berprofil tinggi seperti yang berlaku dalam skandal 1MDB, dan kenaikan kedudukan negara dalam Indeks Kedaulatan Undang-undang, daripada tempat ke-78 pada 2016 kepada ke-55 pada 2022.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa persepsi ada campur tangan eksekutif dalam pelantikan kehakiman masih menjadi kebimbangan serius.

Menjelaskan perkara yang dikemukakannya di Dewan Rakyat, Ramkarpal berkata Akta 695 membenarkan perdana menteri menolak calon kehakiman yang disyorkan oleh JAC dan meminta nama alternatif.

“Ini menimbulkan kebimbangan mengenai campur tangan politik,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan pelantikan bekas peguam negara sebagai hakim, bertanyakan sama ada pelantikan itu sesuai.

Kebimbangannya timbul beberapa minggu selepas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyentuh mengenai kebebasan kehakiman dalam ucapan Pembukaan Tahun Perundangan 2025.

Tengku Maimun memberi amaran mengenai pengaruh eksekutif dalam pelantikan kehakiman, mengimbau kesan buruk krisis kehakiman 1988 dan skandal VK Lingam, di mana hubungan politik didakwa mempengaruhi kenaikan pangkat kehakiman.

Beliau berkata kita tidak boleh harap orang ramai meyakini badan kehakiman jika mereka merasakan hakim dilantik berdasarkan kepentingan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.