Majikan terus bergantung tenaga asing jika caruman KWSP rendah, kata MTUC

Majikan terus bergantung tenaga asing jika caruman KWSP rendah, kata MTUC

Presiden Effendy Abdul Ghani berkata kadar caruman 2% perlu dikaji semula supaya selaras kadar tenaga tempatan bagi mengelakkan jurang dalam perlindungan sosial.

Presiden MTUC Effendy Abdul Ghani berkata keputusan itu bertentangan objektif negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan meningkatkan daya saing industri dalam jangka panjang.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing yang rendah akan menyebabkan majikan terus bergantung kepada mereka, berbanding melabur untuk produktiviti dan automasi.

Pada 3 Feb, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menetapkan kadar caruman KWSP sebanyak 2% bagi pekerja asing, berbanding 12% yang dicadangkan sebelum ini.

Anwar berkata keputusan itu dibuat untuk tidak membebankan majikan, dan akan dikekalkan sehingga situasi ekonomi lebih baik.

Presiden MTUC Effendy Abdul Ghani berkata keputusan itu bertentangan dengan objektif mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan meningkatkan daya saing industri dalam jangka panjang.

Malah, beliau berpandangan caruman 2% terlalu rendah dan mungkin tidak berbaloi dari segi kutipan, pentadbiran, dan pelaburan jangka panjang.

“Sebarang keputusan berkaitan kadar caruman KWSP tidak boleh menjejaskan faedah persaraan pekerja tempatan, yang merupakan tunjang tenaga kerja negara,” menurut kenyataan.

Menurutnya, kadar caruman KWSP bagi pekerja asing perlu dikaji semula supaya selaras dengan kadar pekerja tempatan bagi mengelakkan jurang dalam perlindungan sosial dan memastikan kesaksamaan di tempat kerja.

“Fokus utama kerajaan haruslah kepada memperkasakan hak dan faedah pekerja tempatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang perubahan terhadap dasar pekerja asing.

“Jaminan keselamatan sosial dan peluang pekerjaan bagi pekerja tempatan perlu diutamakan dalam sebarang keputusan berkaitan tenaga kerja negara,” katanya.

Dalam pada itu, MTUC menggesa kerajaan untuk memperkukuh proses pemutihan majikan, di mana semua pekerja asing diwajibkan berdaftar dengan KWSP melalui majikan mereka.

“Ini akan membolehkan kerajaan mengenal pasti jumlah sebenar pekerja asing yang sah, memastikan semua pekerja mendapat perlindungan sosial minimum dan mengelakkan eksploitasi serta dimanipulasi oleh majikan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.