Dasar ambil kira perpaduan nasional, perlu kelulusan Jemaah Menteri

Dasar ambil kira perpaduan nasional, perlu kelulusan Jemaah Menteri

Peringatan diberi dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, membincangkan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Menteri Na’im Mokhtar dan Aaron Ago Dagang kata cadangan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam telah menimbulkan kekeliruan.
PETALING JAYA:
Setiap dasar yang dirangka perlu ambil kira aspek perpaduan nasional, begitu peringatan Jemaah Menteri dalam mesyuarat membincangkan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Malah, dasar tersebut perlu mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu, menurut kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

Peringatan ini diberi dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, yang meneliti ‘kekeliruan’ berkaitan cadangan tersebut.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif membangunkan garis panduan tersebut susulan pertanyaan daripada umat Islam tentang undangan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.

“Mengambil kira bahawa perkara ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa Jakim boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.

“Jemaah Menteri juga mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu,” menurut kenyataan.

Pada masa sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus giatkan dialog harmoni bagi mengalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama.

“Perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional,” katanya.

Jemaah Menteri membincangkan cadangan garis panduan kontroversi itu hari ini, susulan persoalan dan teguran daripada pelbagai pihak.

Cadangan garis panduan itu antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.

Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata beliau mahu bertemu Na’im berhubung garis panduan tersebut, kerana ia antara lain akan memberi kesan kepada wakil rakyat beragama Islam yang diundang ke majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, turut bertanya sama ada orang bukan Islam perlu mendapatkan kelulusan daripada Jakim sebelum mengundang tetamu Islam, dan sama ada kebenaran diperlukan bagi orang Islam untuk memberi penghormatan terakhir kepada rakan bukan Islam yang meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.