
Siti Aminah Nor Ali, yang memiliki ijazah sarjana dalam pendidikan khas, berkata demikian ketika diperiksa balas oleh peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili ibu bapa kanak-kanak itu.
Ismanira Abdul Manaf dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, sedang dibicarakan kerana mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang boleh memudaratkannya.
Siti Aminah, saksi pendakwaan kesembilan, memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau menjaga Zayn Rayyan antara Mac 2023 hingga hari dia dilaporkan hilang.
Haresh: Adakah si ibu sentiasa membekalkan makanan setiap kali Zayn Rayyan menghadiri sekolah?
Siti: Ya.
Haresh: Adakah si ibu membekalkan makanan yang dimasak di rumah jika kanak-kanak itu tidak suka makanan yang dibungkus?
Siti: Ya.
Haresh: Daripada pemerhatian anda di sekolah, adakah (Ismanira) seorang ibu yang prihatin dan penyayang?
Siti: Ya.
Haresh: Adakah si ibu mengutamakan keselamatan anaknya dengan memastikan dia memakai topi keledar walaupun jarak antara sekolah dan rumah mereka hanya 2km?
Siti: Ya.
Haresh: Adakah itu memberi anda gambaran bahawa (Ismanira) tidak akan mengabaikan anaknya?
Siti: Ya.
Saksi itu juga berkata, Ismanira membawa anaknya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Timbalan Pendakwa Raya Aqrie Durranie Aziz tidak memeriksa semula saksi berhubung persoalan ini.
Ketika pemeriksaan utama, Siti berkata, Zayn Rayyan ditempatkan di sekolahnya kerana kanak-kanak itu memerlukan perhatian khusus.
“Dia bukan kanak-kanak bermasalah, dan tidak aktif dalam kelas. Dia boleh menerima arahan mudah dan cenderung berada dalam dunianya sendiri sambil duduk di satu sudut bilik darjah,” kata Siti, 40.
Beliau berkata, Zayn Rayyan mempunyai masalah pertuturan tetapi dapat berkomunikasi dengannya menerusi tingkah laku.
“Sebagai contoh, jika dia memegang tangan saya, itu menunjukkan dia ingin mendapatkan kebenaran untuk melakukan sesuatu,” katanya.
Siti berkata, Ismanira menghantar dan menjemput kanak-kanak itu dari sekolah hampir setiap hari dan sentiasa menyediakan makanan untuknya, yang dimasak di rumah.
Pada hari Zayn Rayyan hilang, Siti memberitahu bahawa Ismanira lambat menjemputnya. Beliau memberitahu mahkamah, beliau membawa budak lelaki itu ke pintu pagar sekolah apabila ibunya tiba dengan motosikal.
Siti berkata, beliau dapat tahu melalui kumpulan sembang sekolah pada petang itu bahawa Zayn Rayyan hilang, tetapi pada mulanya, beliau tidak risau.
“Normal bagi kanak-kanak seperti Zayn Rayyan untuk merayau-rayau, tetapi selalunya mereka ditemui semula,” katanya.
Keesokan paginya, iaitu pada 6 Dis, Siti menemani guru besar sekolahnya dan dua penolong kanan bertemu Ismanira di rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, kerana masih belum ada perkembangan mengenai Zayn Rayyan.
“Kami ke sana untuk memberikan sokongan moral dan menaikkan semangatnya,” katanya menambah, Ismanira berada di rumah bersama ibu mentuanya.
Siti berkata, Ismanira dalam keadaan tertekan dan tidak makan atau minum sejak anaknya hilang kira-kira 12.30 tengah hari sebelumnya.
Katanya, pada suatu ketika, Ismanira menjerit dan berkata: “Zayn, ini semua salah mummy.”
Semalam, seorang lagi saksi, Faizul Najib Abd Munaim, memberi keterangan bahawa beliau ternampak mayat di tebing pasir berhampiran sebatang sungai, dengan bantuan lampu suluh, pada kira-kira 9.30 malam, 6 Dis.
Ismanira dan Zaim, kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak pada 13 Jun tahun lepas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di PJU Damansara Damai antara tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Jika sabit kesalahan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, mereka boleh didenda hingga RM50,000, penjara 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023. Mayatnya ditemukan di sungai berhampiran Apartment Idaman pada hari berikutnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh diteruskan.