
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu harus dikutuk sekeras-kerasnya kerana jelas ia langkah untuk melaksanakan pembersihan etnik.
“Kegilaan Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu (perdana menteri Israel) harus dihentikan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
Trump, seorang pemaju hartanah yang menjadi ahli politik, mencetuskan kemarahan di seluruh Asia Barat apabila mengumumkan pada Selasa hasrat untuk mengambil alih Semenanjung Gaza, ketika Israel dan Hamas dijangka memulakan rundingan fasa kedua gencatan senjata di Qatar.
Semalam, Trump berkata Israel akan menyerahkan Gaza kepada AS selepas pertempuran berakhir dan penduduk Palestin di situ sudah ditempatkan semula di tempat lain.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memberitahu pemberita pada Khamis bahawa orang ramai perlu tinggal di tempat lain sementara Gaza dibina semula. Beliau tidak menyatakan sama ada mereka akan dapat kembali di bawah rancangan Trump untuk membangunkan enklaf itu, yang menempatkan lebih 2 juta rakyat Palestin.
Ismail menyifatkan tindakan sebegitu sebagai ‘tidak masuk akal’, mengimbau pengusiran penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur oleh Israel sejak 1950-an dan juga semasa peperangan pada 1967 di mana baki tanah Palestin dirampas.
“Amat malu jika AS, sebuah negara yang mahukan keamanan di Asia Barat dan sering menyokong hak asasi manusia, tetapi kini sedang giat mahu mengusir penduduk Gaza,” katanya.
Dunia khususnya negara Islam perlu bangun dan bangkit menentang kegilaan ini, tegasnya.
“Penyelesaian kekal untuk isu ini hanya satu, berikan hak rakyat Palestin,” katanya.