
Bercakap kepada FMT di luar permukiman menteri luar ASEAN di Langkawi baru-baru ini, Mohamad menegaskan bahawa kerajaan tentera Myanmar mesti segera menghentikan semua bentuk keganasan terhadap rakyatnya.
“Tidak ada garis masa untuk perkara ini. Junta mesti menghentikan keganasan serta-merta,” katanya.
Mohamad berkata, walaupun Asean mungkin belum dalam kedudukan untuk mengambil langkah-langkah memaksa bagi menamatkan keganasan yang berlaku, blok serantau itu boleh menuntut supaya Myanmar membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyatnya yang sudah lama mencerita.
“Apa gunanya jika kita terus memberi bantuan tetapi ia tidak pernah sampai kepada mereka yang memerlukan? Kita boleh menggunakan tekanan terhadap junta dengan menarik balik bantuan,” katanya.
Myanmar dibelenggu konflik semakin meruncing sejak 1 Feb 2021, apabila rampasan kuasa tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, yang dipimpin oleh Parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) diketuai Aung San Suu Kyi.
Rampasan kuasa itu mencetuskan protes besar-besaran yang membawa kepada tindakan keras oleh junta, menyebabkan krisis politik dan kemanusiaan yang berlarutan.
Sebagai tindak balas, pembangkang menubuhkan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), sebuah pentadbiran bayangan terdiri daripada Ahli Parlimen digulingkan, aktivis dan pemimpin etnik.
NUG secara rasmi mengisytiharkan perang terhadap Majlis Pentadbiran Negara (SAC), nama rasmi junta tentera Myanmar.
NUG disokong oleh Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) – gabungan militia awam dan kumpulan bersenjata etnik (EAO) yang berjuang untuk autonomi di wilayah sempadan Myanmar sejak berdekad-dekad.
Walaupun berdepan kecaman antarabangsa dan konflik dalaman, SAC mengumumkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya tahun ini. Bagaimanapun, pengkritik mendakwa langkah itu hanyalah muslihat untuk mengekalkan pemerintahan tentera di sebalik topeng demokrasi.
Mohamad menegaskan bahawa sebarang penyelesaian terhadap konflik ini mesti dilaksanakan melalui mekanisme Asean tanpa campur tangan pihak luar.
“Sesiapa yang benar-benar mahu membantu menyelesaikan krisis di Myanmar mesti melakukannya melalui Asean.
“Kami sedar bahawa ada pihak tertentu yang membekalkan senjata dan sebagainya. Ini mesti dihentikan. Jika lebih banyak pihak terlibat, situasi akan menjadi lebih rumit.
“Kami mahu Myanmar memulihkan ketenteraman awam. Segala-galanya mesti diselaraskan melalui mekanisme Asean,” katanya.
Federalisme ala Malaysia
Mohamad mencadangkan bahawa satu penyelesaian kepada krisis ini adalah dengan Myanmar mengamalkan sistem kerajaan persekutuan, seperti yang terbukti berjaya di Malaysia.
“Sama seperti Myanmar, kita juga mempunyai kepelbagaian etnik. 70% daripada tuntutan kumpulan-kumpulan ini adalah serupa. Mereka mahukan autonomi dengan kerajaan serantau ditubuhkan, tetapi masih kekal sebagai sebahagian daripada Myanmar.
“Perkara terakhir yang Asean mahukan ialah Myanmar yang berpecah-belah,” katanya.
Pakar sains politik dan hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya, Johan Saravanamuttu, bersetuju dengan pandangan tersebut, dengan menyatakan bahawa federalisme boleh menjadi ‘langkah pertama’ ke arah penyelesaian jangka panjang konflik Myanmar.
“SAC dan NUG berbeza pendapat, tetapi mereka bersetuju dalam isu sistem persekutuan. Sistem ini mungkin tidak sempurna, tetapi ia akan membolehkan lebih banyak autonomi kepada komuniti etnik,” katanya kepada FMT.
Ujarnya, Myanmar mempunyai 135 kumpulan etnik yang berbeza.
Beliau menambah walaupun kumpulan Bamar, yang membentuk kira-kira 68% daripada populasi, adalah dominan, pemberian autonomi boleh membantu mengurangkan tentangan daripada kumpulan EAO yang mewakili etnik seperti Chin, Karen, Shan dan Rakhine.