AS bubar unit siasat skandal 1MDB

AS bubar unit siasat skandal 1MDB

Penutupan Kleptocracy Asset Recovery Initiative dan Task Force Klepto Capture diumumkan oleh peguam negara AS pada Rabu, menurut wartawan.

1mdb
DoJ memanfaatkan kuasa KARI di bawah undang-undang pelucuthakan aset sivil untuk merampas lebih USD1 bilion aset yang dikaitkan dengan dana daripada 1MDB yang digelapkan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Unit Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat yang memainkan peranan penting dalam siasatan dan pendakwaan skandal 1MDB diarah bubar.

Menurut seorang wartawan siasatan, Bradley Hope, penutupan Kleptocracy Asset Recovery Initiative (KARI) dan Task Force Klepto Capture diumumkan oleh peguam negara AS, Pam Bondi, dalam suatu emel pada Rabu.

“Unit-unit itu memperoleh semula berbilion aset yang dicuri sejak 2010,” kata Hope dalam catatan di X, semalam.

Hope juga memetik sumber sebagai berkata, objektif utama dalam membubarkan unit-unit itu adalah untuk mendapatkan kawalan ke atas dana pelucuthakan berjumlah berbilion dolar – wang yang dirampas daripada pegawai rasuah dengan tujuan untuk dikembalikan kepada negara-negara yang menjadi mangsa.

Hope mengarang buku, “Billion Dollar Whale”, bersama seorang lagi wartawan, Tom Wright, dan mereka menyiasat skandal 1MDB selaku wartawan The Wall Street Journal.

DoJ memanfaatkan kuasa KARI di bawah undang-undang pelucuthakan aset sivil untuk merampas lebih USD1 bilion aset yang dikaitkan dengan dana daripada 1MDB yang digelapkan. Aset ini termasuk hartanah mewah, karya seni dan barangan bernilai tinggi lain yang dibeli dengan wang yang digelapkan.

Inisiatif itu memudahkan kerjasama antarabangsa dengan negara-negara seperti Malaysia, Switzerland dan Singapura untuk mengesan dana yang dicuci merentasi pelbagai wilayah.

Menerusi KARI, DoJ memfailkan saman sivil untuk mendapatkan semula dana tambahan yang dikaitkan dengan 1MDB, termasuk pelucuthakan bernilai ratusan juta dolar.

Menurut laporan oleh NBC News hari ini, Bondi mengeluarkan 14 memo dasar pada Rabu, termasuk perintah untuk membubarkan KARI dan Task Force Klepto Capture.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.