Zayn Rayyan disembunyi ‘hantu’, dakwa saksi

Zayn Rayyan disembunyi ‘hantu’, dakwa saksi

Ahmad Nur Syaruddin Mad Zawawi berkata, dia cenderung percaya kepada unsur hantu dan syaitan dalam kehilangan budak 6 tahun itu.

Zayn Rayyan
Jasad kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dijumpai dekat sungai berhampiran kediamannya di Damansara Damai, pada 6 Dis 2023, sehari selepas dilaporkan hilang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang saksi mengaku percaya kepada unsur mistik tertarik untuk mencari di sungai kerana merasakan Zayn Rayyan Abdul Matiin disembunyikan ‘hantu’, mahkamah sesyen diberitahu.

Ahmad Nur Syaruddin Mad Zawawi berkata, dia dan rakan-rakannya pada malam 6 Dis 2023 kembali ke Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, di mana kanak-kanak lelaki itu kali terakhir dilihat ibunya sehari sebelum itu.

Saksi yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan berkata demikian menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Aqrie Durranie Aziz sama ada sesiapa memberitahunya agar mencari di kawasan berkenaan.

“Tiada yang maklumkan apa-apa, kami terasa, sebab orang Islam fikir kadang-kadang perkara mistik,” kata Nur Syaruddin, 36, ketika memberikan keterangan.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela, Haresh Mahadevan, berkait apa dimaksudkan sebagai unsur ‘mistik’, saksi berkata: “Kita sebagai orang Islam percaya kepada perkara mistik seperti hantu dan syaitan. Kita masih percaya perkara itu.”

Haresh: Jadi kamu percaya ada unsur mistik dalam penemuan jasad Zayn Rayyan?

Nur Syaruddin: Bukan pada penemuan jasad, masa awal kehilangan saya sangka dia disorok oleh hantu.

Saksi itu berkata, dia mencari kanak-kanak lelaki itu di kawasan hulu bersama sekumpulan rakannya sehingga ke kawasan di mana mayat Zayn Rayyan ditemukan.

Awal hari ini, seorang saksi, Faizul Najib Abd Munaim, memberi keterangan menemukan mayat Zayn Rayyan menerusi penggunaan lampu suluh, berdekatan tebing pasir sungai.

Nur Syaruddin berkata, dia dan kumpulannya mengikuti rapat Faizul.

Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, kedua-dua berusia 30 tahun, minta dibicarakan atas tuduhan pengabaian kanak-kanak, pada 13 Jun tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa berlaku di PJU Damansara Damai antara tengah hari pada 5 Dis dan 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, boleh dihukum denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan, yang menghidap autisme, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dengan mayatnya dijumpai di sungai berdekatan Apartmen Idaman Damansara Damai, pada hari berikutnya.

Pendengaran kes di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.