Pihak sorok titah adendum yang derhaka, Hamzah jelas ‘tuduhan’ terhadap PM

Pihak sorok titah adendum yang derhaka, Hamzah jelas ‘tuduhan’ terhadap PM

Ketua pembangkang nafi dakwaan beliau tuduh Anwar Ibrahim derhaka kerana sorok titah adendum tahanan rumah Najib Razak.

Hamzah Zainudin
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, kerajaan perlu menyiasat pihak mana dalam kalangan mereka yang menyorok titah adendum berkait tahanan rumah Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Hamzah Zainudin menafikan menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim derhaka terhadap institusi diraja berhubung titah adendum tahanan rumah Najib Razak.

Ketua pembangkang menjelaskan beliau sebaliknya memetik pihak yang menyorok titah adendum tersebut sebagai derhaka.

“Boleh semak balik video dan hansard (penyata rasmi Dewan Rakyat), (saya) tak kata (begitu) pun,” katanya pada sidang media di Parlimen.

“Kalau ada apa-apa (seperti titah adendum) yang telah diputuskan mahkamah, dan mereka sorok, itu suatu penderhakaan.”

Semalam, Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) berkata, tuduhan yang dibuat Hamzah dalam Dewan Rakyat itu merupakan ‘tohmahan jahat dan tidak berasas’.

Menurut BBC, Anwar telah menjelaskan titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya dan bukan bawah tanggungjawabnya sebagai perdana menteri, sebaliknya bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Tambahnya, ‘fitnah’ sedemikian juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja.

Kelmarin, suasana Dewan Rakyat sedikit tegang apabila Hamzah membangkitkan isu titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Ahli Parlimen Larut itu mempersoalkan sama ada tindakan menyembunyikan kewujudan titah adendum itu merupakan penderhakaan terhadap raja dan negara.

Dalam pada itu, Hamzah hari ini berkata, kerajaan perlu menyiasat pihak mana dalam kalangan mereka yang menyorok titah adendum tersebut.

“Kita tak tahu siapa (yang sorok). Yang kita tahu, mahkamah buat keputusan, adendum itu wujud dan dipegang oleh kerajaan.

“Siapa di pihak kerajaan, saya tak tahu, itu (kena) siasat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.