Penganjur MotoGP tentukan kehadiran gadis litar, menteri beritahu wakil PN

Penganjur MotoGP tentukan kehadiran gadis litar, menteri beritahu wakil PN

Hannah Yeoh berkata gadis litar dilantik penganjur bertugas sebagai petugas promosi dan duta jenama syarikat semasa kejohanan.

gadis litar grid girls
Hannah Yeoh jawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dari PN berhubung perancangan henti tradisi peraga gadis seksi dalam sebarang acara sukan permotoran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan berkait tradisi memperaga gadis litar berpakaian seksi pada kejohanan MotoGP di Malaysia ditentukan penganjurnya Dorna Sports, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh), Yeoh berkata gadis litar terbabit dilantik sebagai petugas promosi atau duta jenama syarikat-syarikat semasa kejohanan.

“Ia ditentukan oleh penganjur iaitu Dorna Sports. Ini termasuklah aktiviti pemasaran, penyiaran dan promosi pasukan.

“Peranan SIC (Sepang International Circuit) sebagai penyedia fasiliti dan kemudahan di litar,” katanya sambil menyatakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui SIC sentiasa mengadakan libat urus dengan penganjur untuk menambahbaik kualiti dan perincian kandungan.

“Pada masa sama mengambil kira sensitiviti budaya dan agama negara.”

Fawwaz dari PAS meminta Yeoh menyatakan perancangan KBS untuk menghentikan tradisi memperaga wanita seksi dalam sebarang acara sukan permotoran dianjurkannya atau syarikat berkaitan kerajaan.

Dalam pada itu, Yeoh berkata kejohanan MotoGP yang dianjurkan di 21 litar seluruh dunia telah memberi kesan ekonomi menerusi kajian dilakukan SIC.

“Mengikut kajian impak ekonomi dilakukan SIC, pada 2022 penganjuran acara ini memberi kesan positif lebih RM150 juta kepada unjuran ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, pada tahun lalu seramai 184,923 penonton membanjiri SIC pada kejohanan MotoGP dengan 18,000 daripadanya pelancong asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.