
K Karan, 25, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan sebilah parang kepada L Nadesan, 30, sehingga menyebabkan pergelangan tangan mangsa terputus.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 11 pagi 23 Jun 2024 di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan, Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N M Morganaraj Mithra dan tertuduh diwakili peguam Kala Jeya Kumar.
Morganaraj memohon mahkamah memberi jaminan RM15,000, namun Kala dalam rayuannya memohon jumlah minimum RM5,000 kerana tertuduh masih bujang dan hanya berpendapatan RM1,700 sebulan serta perlu menanggung dua adik masih belajar, selain berstatus yatim piatu.
Majistret Siti Nora Sharif menetapkan jaminan RM4,000 dan sebutan semula kes pada 10 Mac ini.
Pada 23 Jun tahun lepas, pergelangan tangan manusia dilaporkan ditemui dekat sebuah lokasi kebakaran kereta di depan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini.
Siasatan polis mendapati tangan itu milik lelaki tempatan yang diserang hampir 20 lelaki bersenjatakan kayu dan parang dalam pergaduhan dipercayai berkaitan kes perebutan kawasan bagi aktiviti pengedaran dadah.