Pegawai SPRM di kementerian perlu diberi kuasa wajar, kata NGO

Pegawai SPRM di kementerian perlu diberi kuasa wajar, kata NGO

Presiden MCW berkata, kejayaan mekanisme itu bergantung kepada sejauh mana kuasa pegawai dan sokongan untuk bertindak tanpa gangguan.

Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata, pelantikan KUI dapat mengurangkan kecenderungan salah laku menerusi pemantauan lebih ketat dan juga kerana laporan boleh dibuat secara terus kepada SPRM. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditempatkan di kementerian perlu diberi kuasa sewajarnya untuk mengambil tindakan bagi menjamin keberkesanan pencegahan rasuah penjawat awam, kata NGO Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Menyambut baik langkah itu, Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata, pelantikan pegawai SPRM sebagai ketua unit integriti (KUI) di setiap kementerian dapat mengurangkan kecenderungan salah laku menerusi pemantauan lebih ketat dan juga kerana laporan boleh dibuat secara terus kepada SPRM.

“Penempatan pegawai SPRM (di kementerian) menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap kementerian mempunyai mekanisme pemantauan yang lebih ketat terhadap isu integriti dan salah laku.

“Namun, kejayaan mekanisme ini bergantung kepada sejauh mana pegawai SPRM diberi kuasa dan sokongan untuk bertindak tanpa gangguan serta bagaimana laporan mereka ditangani oleh pihak atasan.

“Jika KUI ini hanya berperanan sebagai penasihat tanpa kuasa yang jelas, maka kesannya mungkin tidak begitu signifikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Jais berkata, mereka yang dilantik mungkin berdepan cabaran seperti tentangan atau sikap tidak bekerjasama pegawai kanan di kementerian terbabit, terutamanya jika wujud amalan yang sudah ‘berakar umbi’.

“Pegawai (SPRM) yang bertugas mungkin menghadapi tekanan daripada pihak tertentu yang tidak mahu amalan salah laku mereka didedahkan.

“Jika penemuan dan laporan mereka tidak diambil tindakan dengan tegas, (ini) boleh melemahkan kepercayaan terhadap mekanisme ini,” katanya.

Hari ini dilaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengumumkan pegawai agensi itu akan dilantik sebagai KUI di semua kementerian.

Katanya, penempatan pegawai ini akan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara berfasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.