
Bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu berkata, ini bukan kali pertama Na’im mencetuskan kekecohan berhubung hal agama, memetik bantahan terhadap cadangan pada September untuk mewajibkan pensijilan halal bagi semua syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.
Liu berkata satu lagi kekecohan yang pernah dicetuskan sebelum ini membabitkan Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, yang telah ditentang oleh kumpulan masyarakat sivil dan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin.
“Pada saya, menteri ini gagal lagi memahami sifat, realiti dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum seperti kita.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk menghantarnya kembali ke tempat asal sebelum dia mencetuskan lebih banyak kekacauan sosial. Dia adalah contoh klasik seseorang dinaikkan ke jawatan di luar kemampuannya sendiri,” kata bekas Adun Sungai Pelek itu dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Na’im mendedahkan bahawa garis panduan menyentuh penglibatan orang Islam dalam majlis orang selain Islam serta kunjungan ke majlis di rumah ibadat bukan Islam masih dalam proses libat urus.
Di bawah peraturan yang dicadangkan, tidak boleh ada ucapan atau lagu dengan ‘propaganda’ atau persembahan keagamaan yang akan menghina orang Islam, manakala premis digunakan tidak boleh memaparkan simbol agama kepercayaan selain Islam.
Na’im juga berkata penganjur perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa berkaitan, serta ‘pandangan’ pihak berkuasa Islam, jika majlis mereka melibatkan orang Islam.
MIC telah menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan, manakala Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata garis panduan itu akan memberi kesan kepada wakil rakyat Islam yang menghadiri majlis di tempat ibadat bukan Islam.
Dalam mempertahankan garis panduan itu, Na’im berkata ia diatur dengan niat murni dan hanya bersifat nasihat.
Menteri itu juga berkata ia bertujuan memupuk keharmonian ‘sosial dan budaya’ dalam kalangan masyarakat berbilang agama di Malaysia, sambil memastikan penyertaan orang Islam dalam acara sedemikian tidak mencetuskan kontroversi atau melanggar sensitiviti agama.