BRICS tak mungkin berhenti guna dolar AS, kata Tengku Zafrul

BRICS tak mungkin berhenti guna dolar AS, kata Tengku Zafrul

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata Amerika Syarikat kekal sebagai salah satu pelabur terbesar Malaysia, dengan lebih 600 firma Amerika beroperasi.

Pada Oktober 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedang berusaha meningkatkan dagangan dalam mata wang tempatan untuk menyokong ringgit yang semakin lemah dan mengurangkan pergantungan kepada dolar AS.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz hari ini berkata beliau tidak melihat kemungkinan BRICS menghentikan penggunaan dolar AS dalam perdagangan antarabangsa.

Tengku Zafrul berkata kebarangkalian negara anggota BRICS menggantikan dolar AS ‘hampir tidak wujud’ kerana majoriti perdagangan global sangat bergantung kepada dolar AS.

Beliau memetik perdagangan Malaysia dengan China, yang menyumbang kira-kira 18% daripada jumlah perdagangan Malaysia dan di mana majoriti urus niaga dijalankan dalam dolar AS.

“Ada beberapa (syarikat) yang bersetuju jika mereka mengeksport dan mengimport dari Malaysia, mereka akan menerima ringgit, dan kita akan menerima renminbi. Tetapi untuk pengetahuan saya, ini masih kecil dan melibatkan penyelesaian dan bukannya ‘dedolarisasi’ penuh.

“Pada masa sama, pelabur yang melabur di luar AS, apabila mereka mengeksport ke AS, mereka menggunakan dolar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang bertanyakan pendirian Malaysia mengenai dedolarisasi selepas Presiden AS Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100% ke atas negara BRICS.

Pada Oktober 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedang berusaha meningkatkan dagangan dalam mata wang tempatan untuk menyokong ringgit yang semakin lemah dan mengurangkan pergantungan kepada dolar AS.

Mengenai ancaman tarif Trump ke atas negara BRICS, Tengku Zafrul menyatakan bahawa Malaysia bukanlah ahli penuh kumpulan itu, hanya negara rakan kongsi.

Beliau menambah bahawa Malaysia sedang mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan dan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS untuk mengelakkan potensi kenaikan tarif oleh pentadbiran Trump.

Beliau berkata AS kekal sebagai salah satu pelabur terbesar Malaysia, dengan lebih 600 firma Amerika beroperasi di negara itu.

“Kami mengambil langkah proaktif untuk menghalang kenaikan tarif seperti yang dilihat dikenakan ke atas China, Kanada dan Mexico,” katanya, sambil melahirkan keyakinan bahawa pelabur AS sedia ada akan terus mengembangkan operasi mereka di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.