
Pengerusi Mahkamah Perusahaan, D Paramalingam, berkata memorandum perjanjian (MoA) mengenai bantuan perayaan, bertarikh 5 April 2023, tidak mempunyai kesan undang-undang atau mengikat.
Beliau berkata ini kerana MoA itu belum dikemukakan ke mahkamah untuk pengiktirafan rasmi, seperti yang dikehendaki oleh Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Ia juga tidak mewajibkan bank membayar bantuan untuk tahun-tahun berikutnya.
“Setakat ini, MoA untuk bantuan perayaan hanya memperuntukkan bayaran sekali sahaja untuk 2023 dan bukan untuk tahun-tahun berikutnya, walaupun pihak-pihak mempunyai kebebasan dan budi bicara untuk menyemak sebarang pembayaran bantuan perayaan untuk tahun berikutnya selepas 2023,” katanya dalam satu award yang dikeluarkan awal minggu ini.
Paramalingam juga berkata beliau terikat dengan prinsip stare decisis kerana keputusan serupa pernah dibuat pada masa lalu oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Walaupun mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku di Mahkamah Perusahaan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes NUBE lwn HSBC Bank Malaysia Bhd, kesatuan itu sekali lagi cuba untuk memperkenalkan MoA sebagai terma pekerjaan tersirat,” katanya.
Paramalingam berkata NUBE memohon agar beliau meninggalkan keputusan mahkamah tertinggi dalam mengeluarkan award.
“Mahkamah ini tidak akan membiarkan dirinya diheret ke dalam kancah pergaduhan kehakiman. Ia juga penting untuk diambil perhatian bahawa saksi kesatuan dan setiausaha agung, J Solomon, juga merupakan saksi kesatuan dalam kes NUBE lwn HSBC.
“Beliau begitu mengetahui keputusan di mahkamah tertinggi tetapi sebaliknya berpura-pura tidak tahu apabila disoal balas oleh peguam MCBA,” tambahnya.
Pertikaian mengenai bantuan perayaan itu berikutan usaha perdamaian yang tidak berjaya oleh Jabatan Perhubungan Industri pada Februari dan Mac tahun lalu, membawa kepada rujukan kes pada 16 April 2024.
Paramalingam juga membangkitkan cubaan kesatuan mengheret menteri sumber manusia dalam ‘permainan tarik talinya’ bersama MCBA, dengan mendakwa menteri terbabit telah campur tangan tanpa penyertaan kesatuan, dalam memutuskan pembayaran ex-gratia bantuan perayaan untuk 2024.
“Kesatuan itu bukan sahaja gagal menunjukkan bukti kukuh bahawa memang ada pertemuan antara menteri dan MCBA berhubung pembayaran bantuan perayaan ex gratia untuk 2024, malah tidak ada satu pun bukti bahawa menteri terbabit dalam rundingan bantuan perayaan (pada) 2023.”
Beliau berkata atas sebab itu mahkamah sebelum ini enggan mengeluarkan sapina untuk menteri terbabit memberi keterangan.
“Sepina itu tidak lebih daripada agenda untuk meneruskan serangan mereka terhadap menteri dengan membuat kenyataan tidak wajar dalam media sosial dan media bagi memaksa pembayaran bantuan perayaan untuk 2024.”
Peguam N Sivabalah dan Reena Embasegaran mewakili MCBA, manakala Ravi Nekoo dan Arvin Kumar Mohan mewakili kesatuan.