
Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan anggota tentera 34 tahun dari Pasukan 2 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja itu kira-kira 12.30 tengah malam.
Pemangku Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat berkata tujuh unit “slingshot” menyerupai senapang, empat unit busur silang, enam jenis anak panah dengan setiap jenis mempunyai lima anak panah dan 300 biji bebola galas dirampas.
“Semakan mendapati lelaki itu tiada sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata suspek direman dua hari hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang memiliki senjata buatan sendiri atau tanpa lesen.
Menurut laporan Sinar Harian, anggota tentera itu difahamkan membuat siaran langsung melalui platform media sosial untuk mempromosi dan menjual senjata tiruan.
Kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak dua tahun lalu dan peralatan berkenaan diperoleh daripada ejen di Pahang.