
Menurut sumber, empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50an itu ditahan Selasa lepas di beberapa lokasi di negeri di Pantai Timur dan di selatan tanah air melalui satu operasi khas SPRM.
“Transaksi rasuah oleh kesemua suspek disyaki sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembalakan,” katanya menambah, siasatan awal mendapati kegiatan itu berjalan sejak 2016.
Selain itu, kata sumber, SPRM turut menyita dua kenderaan mewah dan wang tunai puluhan ribu ringgit, lapor Bernama.
Kelima-lima mereka kini direman hingga Selasa untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Azam berkata, dua individu yang turut ditahan sebelum ini berkaitan kes berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.