Tangguh pemilihan bahagian di Sabah, gesa pemimpin PKR

Tangguh pemilihan bahagian di Sabah, gesa pemimpin PKR

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Roslan Sapar berkata ia bagi membolehkan jentera fokus PRN yang akan diadakan bila-bila masa.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Roslan Sapar berkata usul penangguhan pemilihan parti itu dipersetujui semua 25 ketua bahagian di Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR Sabah mencadangkan pemilihan parti peringkat bahagian di negeri itu ditangguh bagi membolehkan jentera fokus kepada PRN yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Naib Ketua Roslan Sapar berkata penangguhan itu juga bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli yang mungkin berlaku akibat pertandingan pelbagai jawatan di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya.

“Ini secara langsung akan memberi kesan langsung kepada persediaan menghadapi PRN Sabah nanti,” katanya dalam kenyataan, sambil menambah penangguhan itu sebagai pengiktirafan kepada autonomi PKR Sabah.

Ketua PKR Kalabakan itu mendakwa usul penangguhan pemilihan parti berkenaan dipersetujui semua 25 ketua bahagian di Sabah.

“Permohonan penangguhan ini untuk kepentingan parti dan bukanlah menentang keputusan pimpinan pusat, malah kami bersetuju jika pemilihan dalam mesyuarat agung tahunan bahagian diadakan selepas PRN,” katanya.

PKR menetapkan pemilihan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi sesi 2025-2028 pada Mei, manakala pemilihan ahli jawatankuasa, Wanita, Pemuda peringkat bahagian diadakan pada 11 hingga 20 Apr ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.