Wakil PN gesa sidang khas Dewan Rakyat bincang ‘ikrar Trump’

Wakil PN gesa sidang khas Dewan Rakyat bincang ‘ikrar Trump’

Saifuddin Abdullah bidas ikrar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang negara itu akan mengambil alih Semenanjung Gaza.

Saifuddin Abdullah turut setuju cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membantu pembangunan semula di Gaza dengan pembinaan sekolah, hospital dan masjid.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan sidang khas Dewan Rakyat dibuat bagi membincangkan masa depan Palestin selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berikrar negara itu akan mengambil alih Semenanjung Gaza.

Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata tindakan Trump itu seumpama mengisytiharkan perang kepada umat Islam dan semua pencinta kemanusiaan.

“Kami minta diadakan sidang khas Dewan Rakyat dan bersekali dengan Dewan Negara bagi bincang masa depan Palestin.

“Ini lebih gila suasananya dan tidak pernah berlaku di dunia kerana akan berubah geo politik dunia,” katanya dalam perbahasan usul titah diraja pada sidang Dewan Rakyat.

Wakil rakyat Bersatu itu juga bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membantu pembangunan semula di Gaza dengan pembinaan sekolah, hospital dan masjid, dilaksanakan dengan sokongan sektor swasta serta rakyat Malaysia.

Semalam, Trump berikrar AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain, satu langkah bakal ‘menghancurkan’ dasar berdekad-dekad AS berhubung konflik Israel-Palestin.

Trump mendedahkan rancangannya yang sungguh mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Washington.

Pengumuman berkenaan menyusul satu lagi cadangan ‘menggemparkan’ daripada Trump sebelum itu, yang ingin memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara-negara jiran secara kekal, sambil memanggil Gaza sebagai ‘tapak perobohan.’

Trump berkata, kira-kira dua juta penduduk Gaza harus ‘pergi ke negara lain yang mempunyai jiwa kemanusiaan.’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.