Garis panduan majlis selain Islam masih dalam proses libat urus

Garis panduan majlis selain Islam masih dalam proses libat urus

Menteri Hal Ehwal Agama Na'im Mokhtar berkata garis panduan bersifat nasihat itu untuk memastikan penglibatan orang Islam dalam aktiviti berkenaan tidak mencetuskan kontroversi.

na'im
Menteri Na’im Mokhtar kata garis panduan menyentuh penglibatan orang Islam dalam majlis orang selain Islam serta kunjungan ke majlis di rumah ibadat bukan Islam bersifat nasihat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Garis panduan menyentuh penglibatan orang Islam dalam majlis orang selain Islam serta kunjungan ke majlis di rumah ibadat bukan Islam masih dalam proses libat urus, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Na’im Mokhtar berkata garis panduan itu masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti termasuk majlis agama Islam negeri-negeri, dan akan diteliti secara komprehensif oleh mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI seterusnya akan diangkat kepada pertimbangan mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Perak.

“Semua pihak diminta tidak menimbulkan salah faham atau mempolemikkan isu ini sehingga menimbulkan keresahan awam kerana tujuan garis panduan ini dibangunkan adalah mulia iaitu demi memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksana secara tertib dan seterusnya menjadi salah satu wadah berkesan ke arah pengukuhan keharmonian,” menurut kenyataan.

Beliau menjawab isu berbangkit di media berhubung ‘Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan dan Penganjuran Majlis di Rumah Ibadat Selain Islam’ yang sedang dibangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Na’im menjelaskan garis panduan itu bersifat nasihat.

Katanya, garis panduan itu akan memandu usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat, “tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam”.

“Ia secara langsung akan memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara para penganut agama,” katanya.

Katanya lagi, garis panduan itu bertujuan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam masyarakat majmuk.

“Menerusi garis panduan yang sedang dibangunkan tersebut, orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam,” katanya.

Terdahulu, Na’im dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Jakim sedang memuktamadkan suatu garis panduan yang menggariskan tentang penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan orang selain Islam.

Ia antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.

Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata beliau mahu bertemu Na’im berhubung garis panduan tersebut, kerana ia antara lain akan memberi kesan kepada wakil rakyat beragama Islam yang diundang ke majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, turut bertanya sama ada orang bukan Islam perlu mendapatkan kelulusan daripada Jakim sebelum mengundang tetamu Islam, dan sama ada kebenaran diperlukan bagi orang Islam untuk memberi penghormatan terakhir kepada rakan bukan Islam yang meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.