Beri penjelasan mengenai larangan ceramah Zakir Naik, kerajaan diberitahu

Beri penjelasan mengenai larangan ceramah Zakir Naik, kerajaan diberitahu

Seorang Ahli Parlimen kerajaan bertanya adakah arahan melarang Zakir dari memberi ceramah di Malaysia masih berkuatkuasa.

Pada Dis 2021, Zakir Naik menafikan beliau menerima arahan daripada pihak berkuasa yang melarangnya memberi ceramah di Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
V Ganabatirau (PH-Klang) menggesa Kementerian Dalam Negeri memberi penjelasan mengenai status larangan berceramah yang dikenakan terhadap pendakwah kontroversi, Zakir Naik di Malaysia.

Ini susulan satu laporan mendakwa Zakir memberi ceramah dalam satu program di Perlis pada bulan lalu.

“Adakah ini bermakna larangan berceramah (terhadap Zakir) tidak lagi berkuatkuasa?

“Saya berharap kementerian dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini,” katanya ketika membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Menurut The Scoop, Zakir berucap di hadapan hadirin dalam Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Jan lalu.

Dalam sesi soal jawab, Zakir didakwa menggesa umat Islam Malaysia untuk lebih giat menyebarkan Islam kepada penganut bukan Islam.

Beliau juga dilaporkan mendakwa rakyat Malaysia tidak sepenuhnya menggunakan undang-undang yang membenarkan penyebaran Islam.

Pada Ogos 2019, dilaporkan Zakir dihalang daripada memberi ceramah di mana-mana bahagian Malaysia.

Polis dilaporkan memberi arahan itu kepada Zakir atas alasan keselamatan negara dan demi memelihara keharmonian kaum.

Bagaimanapun, pada Dis 2021, Zakir menafikan perkara itu, dan berkata tiada arahan sedemikian disampaikan kepadanya oleh polis. Beliau juga mendakwa telah mengesahkan perkara tersebut dengan ketua setiausaha kerajaan ketika itu.

Zakir turut menyatakan bahawa beliau masih meneruskan ceramah kepada kumpulan kecil, khususnya semasa pandemik Covid-19.

Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan mempertimbangkan ekstradisi Zakir ke India selagi pendakwah itu tidak menimbulkan sebarang masalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.