
Bercakap kepada FMT, wakil Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) sedia menyahut cabaran menarik pengunjung dan merekodkan pulangan RM150 bilion.
Namun dua pertubuhan itu mahu kerajaan membantu, antaranya dengan memudahkan penyaluran insentif seperti Geran Galakan Melancong Malaysia (Gamelan) yang keseluruhannya berjumlah RM20 juta menerusi Belanjawan 2025.
Gamelan ialah geran padanan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia bagi industri pelancongan bertujuan untuk merancakkan aktiviti pelancongan.
“Mekanisme penyaluran bantuan itu perlu cekap, cepat dan telus bagi membantu pengusaha swasta tampung perbelanjaan promosi di luar negara,” kata Presiden Matta, Nigel Wong, yang menyifatkan sasaran pendapatan RM150 bilion sebagai munasabah.
Menurut Nigel, Malaysia berpotensi menarik ramai pelancong dengan sekurang-kurangnya setiap seorang berbelanja RM3,000 atas beberapa faktor termasuk kadar tukaran ringgit yang kompetitif.
“Kos barangan di Malaysia juga lebih rendah selain ketersediaan produk serta perkhidmatan… ini beri pengalaman melancong menarik untuk pelancong,” katanya.
Pada 24 Jan lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata kerajaan akan menetapkan sasaran baharu kedatangan TMM2026, yang sebelum ini ditetapkan 36 juta orang, susulan kejayaan menarik 38 juta pelancong tahun lalu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mengkritik pengumuman itu kerana didakwa mencampurkan jumlah pelancong dengan angka pelawat harian.
Dakwanya, ini kerana pelawat harian sebahagian membabitkan penduduk di sempadan negara yang bekerja, berniaga dan berstatus pelajar.
Tumpu pelancong Asia Tengah
Nigel berkata pelancong dari China dan India dijangka terus menjadi jumlah teramai pengunjung ke Malaysia, namun pada masa sama pasaran bagi negara Asia Tengah juga menjadi fokus selain pengembara dari negara Asean.
“Jumlahnya besar dan kita sedang giat laksanakan promosi di negara Asia Tengah seperti Kazakhstan serta Uzbekistan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Bumitra, Wan Muhamad Adam Wan Nurudin, menggesa kerajaan menaik taraf kemudahan di luar bandar bagi menambah tarikan dari segi pelancongan eko dan kepelbagaian makanan unik.
Wan Muhamad turut mencadangkan pemberian latihan seperti pengurusan, pemasaran digital dan penyediaan perkhidmatan berkualiti tinggi, selain akses pembiayaan bagi mengembangkan operasi.
“Selain itu, promosi destinasi dengan kerjasama pempengaruh tempatan dan antarabangsa, bantu pembangunan pelancongan pinggir serta luar bandar dan kerjasama bersama persatuan industri.
“Langkah ini dapat bantu pengusaha Bumiputera raih manfaat pertumbuhan industri pelancongan yang pesat dan menyumbang pembangunan ekonomi negara secara inklusif,” katanya.