
Bercakap kepada FMT, Effendy yang juga presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkeranian Pos Semenanjung Malaysia menjelaskan mesyuarat majlis Am MTUC bertarikh 19 Jan dibuat secara tidak sah dan perkara itu telah dimaklumkan kepada JPPM.
“Saya buat salah laku apa? Pecah amanah ke? Dalam kenyataan itu langsung tak menyebut apa salah laku saya dan mengapa saya dilucutkan jawatan,” katanya.
Effendy memaklumkan dalam mesyuarat 19 Jan, mesyuarat tergempar diketuai Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor turut ‘melucutkan’ jawatan empat naib presiden dan setiausaha kewangan MTUC.
Terdahulu, MTUC mengeluarkan kenyataan jawatankuasa disiplin MTUC menggantung Effendy sebagai presiden dan tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan kesatuan selama dua penggal atau enam tahun.
Kenyataan dibuat pemangku presiden Dauzkaply Nor Ghazali itu juga menyebut sebarang mesyuarat berkait hal ehwal pekerja akan diwakili setiausaha agungnya.
Effendy mendakwa tindakan itu bukan pertama kali dilakukan oleh ‘pihak tidak bertanggungjawab’ dalam kesatuan, apabila Kamarul pada 26 Mei tahun lalu pernah memanggil mesyuarat tergempar untuk menggantung beliau dan beberapa ahli jawatankuasa MTUC.
“Namun keputusan mesyuarat itu terbatal kerana Kamarul telah meletak jawatan dan bukan lagi pekerja di Syarikat Kemuncak Bumijaya Sdn Bhd dan bukan lagi setiausaha agung Kesatuan Pengurusan Sisa Pepejal Semenanjung Malaysia.
“Pemakluman status Kamarul telah pun dihantar Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 10 Mei tahun lalu.
“Mengikut Seksyen 26 (1A) Akta Kesatuan 1959, tiada seorang pun boleh menyertai atau menjadi anggota atau diterima atau dikekalkan sebagai anggota mana-mana kesatuan sekerja jika bertugas dalam suatu penubuhan atau industri atau yang berkenaan dengan kesatuan sekerja itu didaftarkan,” katanya.
Justeru, Effendy mendakwa berdasarkan peruntukan itu Kamarul bukan lagi seorang pekerja dan tidak boleh terus menjadi anggota kesatuan dan memegang jawatan dalam MTUC.
“Oleh sebab saya bangkitkan perkara ini kepada pihak atasan, dia jadi marah kepada saya dan telah panggil mesyuarat untuk singkirkan saya, yang mana semua keputusan yang beliau hadir adalah tidak sah kerana status keanggotaan Kamarul sebagai setiausaha agung MTUC telah terbatal,” katanya.