
“Sekali lagi, ‘someone is making money’ (ada pihak mengaut keuntungan),” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat.
Hamzah berkata, pembelian terus helikopter itu daripada pengeluar hanya menelan belanja RM3.954 bilion.
“Poland membeli helikopter sama AugustaWestland 139 (AW139) – 32 unit- dengan harga USD2 bilion, lengkap dengan pakej pemasangan dalam negara. Jadi, mengapa kita menyewanya dengan harga RM16.6 bilion?”
Beliau turut membandingkan perbelanjaan Malaysia dengan Filipina, yang membeli 32 helikopter S70 Black Hawk dengan kos hanya USD600 juta.
Hamzah berkata, ketika Perikatan Nasional memerintah, Kementerian Dalam Negeri yang diterajui beliau membatalkan rancangan penyewaan helikopter selepas kajian mendapati pembelian terus lebih murah.
“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti skandal kapal LCS (kapal tempur pesisir)”.
Projek LCS – yang dikatakan sebagai perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara dengan kos RM9 bilion — menjadi perhatian pada 2022 selepas didedahkan bahawa tiada kapal siap dibina walaupun RM6.08 bilion telah dibelanjakan.
Hamzah juga berkata tentera udara sudah menggunakan 12 helikopter Eurocopter 725 (EC725) yang lebih besar, kukuh dan lebih lengkap berbanding AW139.
“Persamaan jenis aset, harga dan keupayaan tempur sepatutnya menjadi pertimbangan utama kerajaan dalam perolehan sesuatu aset ketenteraan.
“EC725 terbukti lebih baik daripada AW139, ia lebih lasak, besar, canggih, dan memiliki spesifikasi tempur selain mempunyai simulator penerbangan penuh dalam negara.”
Katanya, penggunaan satu jenis helikopter menjimatkan kos penyelenggaraan.
Hamzah berkata, pada Ogos 2024, Boustead menerima kontrak RM378 juta untuk menyelenggara 12 helikopter EC725 selama lima tahun, dengan kos hanya RM6.3 juta bagi setiap unit setahun.
Beliau kemudian mencabar kerajaan untuk membenarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat perjanjian penyewaan helikopter itu sekiranya Putrajaya ‘tiada apa yang mahu disorokkan’.