Syarat kemasukan program diploma kejururawatan dilonggar

Syarat kemasukan program diploma kejururawatan dilonggar

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata syarat kemasukan lepasan SPM ke program diploma kejururawatan dilonggarkan kepada hanya tiga kredit.

jururawat
Majlis Jururawat Antarabangsa dilaporkan berkata, kekurangan jururawat di Malaysia diunjurkan mencapai hampir 60% menjelang 2030. (Gambar KKM)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata syarat kemasukan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program diploma kejururawatan dilonggarkan daripada lima kredit kepada tiga.

Ia meliputi mata pelajaran bahasa Melayu, matematik dan sains serta lulus dua subjek termasuk bahasa Inggeris, dengan kelonggaran itu hanya bagi pengambilan pelajar tahun ini dan 2026.

“Ya, memang benar, sudah dapat info dari Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dengan sebab yang telah diberitahu oleh beliau,” katanya menurut Utusan Malaysia sambil mengesahkan surat edaran kelonggaran syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan yang tular di media sosial.

Menurut surat itu, Malaysia berdepan isu kekurangan jururawat semakin meruncing dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan dan jika tidak dibendung, ia akan memberi impak serta menjejaskan kesejahteraan negara.

“Perkara ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Jururawat (LJM) pada 28 Nov 2024. Ahli mesyu­arat bersetuju melonggarkan syarat kemasukan program diploma kejururawatan bagi pelajar lepasan SPM daripada lima kepada tiga kredit,” menurut surat itu.

Sebelum ini, calon perlu memperoleh lima kredit dalam SPM termasuk bahasa Melayu, matematik atau matematik tambahan, satu mata pelajaran sains, lulus bahasa Inggeris dan kepujian dalam satu mata pelajaran lain untuk mengikuti program itu.

Calon juga perlu lulus sesi temuduga institusi pengajian bagi menilai kesesuaian mereka mengikuti program itu.

Pada 25 Nov lalu, Majlis Jururawat Antarabangsa dilaporkan berkata, kekurangan jururawat di Malaysia diunjurkan mencapai hampir 60% menjelang 2030 dan ia diburukkan lagi oleh negara berpendapatan tinggi mengambil jururawat berpengalaman dari Asia dengan gaji dan keadaan kerja lebih baik.

Justeru, Ketua Eksekutifnya, Howard Catton menyeru kerajaan merangka pelan sedekad dengan memfokuskan gaji, keadaan kerja, keselamatan dan prospek kerjaya lebih baik untuk menarik jururawat baharu sambil mengekalkan kakitangan berpengalaman.

Laporan Tahunan Majlis Perubatan Malaysia pada 2022 dan 2023 menunjukkan penurunan dalam pendaftaran sementara beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 6,147 pelajar pada 2017 kepada 3,867 pelajar pada 2021, 3,857 pada 2022 dan 3,247 pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.