Polis tahan bapa, ibu tiri disyaki dera anak

Polis tahan bapa, ibu tiri disyaki dera anak

Mangsa yang berusia 10 tahun mendakwa dipukul bapanya menggunakan tali pinggang dan getah paip, manakala ibu tirinya pula memukulnya menggunakan penyangkut baju.

abuse
Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata pasangan berusia 32 dan 27 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. (Gambar fail)
KUALA TERENGGANU:
Polis menahan sepasang suami isteri selepas disyaki mendera anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun di Manir, dekat sini.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata suspek lelaki berusia 32 tahun merupakan bapa kandung mangsa, manakala isterinya yang berumur 27 tahun adalah ibu tiri mangsa.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan di kediaman mereka malam tadi susulan laporan oleh ibu kandung mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa tinggal bersama suspek lelaki pada 2019 selepas mendapat hak penjagaan penuh setelah perceraian.

“Mangsa mendakwa telah dipukul oleh suspek lelaki menggunakan tali pinggang dan getah paip, manakala suspek wanita pula memukulnya menggunakan penyangkut baju,” katanya ketika dihubungi.

Azli berkata mangsa mendakwa kejadian tersebut berlaku hampir setiap hari sehingga menyebabkan dia hidup dalam keadaan tertekan dan sedih.

Bagaimanapun, katanya mangsa tidak menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya kerana takut.

“Menurut ibu mangsa, kali terakhir beliau menemui anak lelakinya itu pada hujung Disember lepas tetapi tidak mengesyaki sebarang perkara buruk,” katanya.

Katanya pemeriksaan oleh pegawai perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.