KWSP raih RM13 bilion caruman sukarela

KWSP raih RM13 bilion caruman sukarela

Jumlah caruman tahun lalu itu melibatkan 1.6 juta ahli KWSP termasuk 400,000 bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap.

kwsp
Pegawai KWSP berkata, 70% ahli tidak menyentuh Akaun Fleksibel (Akaun 3), yang membenarkan pengeluaran pada bila-bila masa.
PETALING JAYA:
Sejumlah RM13 bilion caruman sukarela diperoleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun lalu, sekali gus memaparkan keyakinan orang ramai menyimpan wang dengan badan berkanun itu.

Menurut seorang pegawainya, lebih 1.6 juta pencarum memilih menyimpan wang dalam KWSP berbanding bank, bermungkinan kadar dividen lebih tinggi dan konsisten sejak beberapa dekad lalu.

Caruman berkenaan melibatkan 1.2 juta pencarum, dan 400,000 lagi menerusi skim i-Saraan, caruman sukarela bagi bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Caruman bawah i-Saraan akan menerima insentif khas sebanyak 20% sehingga maksimum RM500 daripada kerajaan untuk jumlah caruman sukarela mereka.

Ahli KWSP yang isi semula secara sukarela boleh menambah caruman sehingga RM100,000 dalam akaun mereka setiap tahun.

Pegawai itu berkata, 70% pencarum tidak menyentuh dana dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3), yang membenarkan pengeluaran pada bila-bila masa.

Kira-kira tiga juta ahli yang mencapai 55 tahun dan layak mengeluarkan keseluruhan simpanan masih menyimpan wang mereka bersama KWSP, mengambil kira pulangan dan jaminan lebih baik, kata pegawai berkenaan.

“Ini menunjukkan rakyat Malaysia memandang serius simpanan KWSP: RM13 bilion tahun lalu merupakan permulaan memberangsangkan, dan kesedaran kelebihan menyimpan secara sukarela dengan KWSP semakin meningkat,” katanya kepada FMT.

KWSP mempunyai lebih 15 juta ahli, dengan sekitar 8.5 juta terdiri pencarum aktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.