
Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Muhammad Fadzli Roslan berkata sesuai dengan peredaran masa, perubahan segar perlu dibuat untuk melangsungkan perjuangan sayap itu dalam berdepan cabaran lebih besar.
“Saya nampak ciri-ciri kepimpinan ada pada Kamil, beliau antara tokoh boleh diangkat sebagai ketua Pemuda PKR untuk penggal seterusnya, jika dipilih beliau perlu ada timbalan mantap bagi melancarkan urusan pimpinan.
“Ramai di dalam kalangan pimpinan Pemuda PKR kini yang bakal mencapai had usia (35 tahun), jadi kekosongan perlu diisi pemimpin lebih tegas, berani, berpengalaman dan berintelektual untuk membawa sayap ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada FMT.
Kamil juga adalah setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan.
Beliau menjadi timbalan kepada Ketua Pemuda PKR Adam Adli selepas menang pemilihan tiga tahun lalu dengan menewaskan Adun Rawang Chua Wei Kiat.
Pertandingan bagi Pemuda PKR akan berlangsung serentak dengan pemilihan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Wanita pada 24 Mei depan.
Pemilihan peringkat bahagian pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
Ketua Penerangan Pemuda PKR Wilayah Persekutuan Muhammad Azha Salahudin pula berpendapat pimpinan sayap itu perlu diterajui individu mempunyai pengetahuan luas dalam soal pentadbiran serta mempunyai semangat dan idealisme selari dengan perjuangan parti.
“Kepimpinan juga perlu sentiasa turun ke lapangan untuk berjumpa dan mendekatkan diri dengan anak muda supaya dapat menunjukkan bahawa kita sentiasa dekat dengan mereka,” katanya.